Samsudin Minta Ibu Bapa Tidak Salah Guna Bantuan Persekolahan

156
Samsudin bersalaman dengan ibu bapa yang hadir pada majlis Penyerahan Bantuan Khas Awal Persekolahan kepada 228 pelajar SK Kampung Bahagia, Sandakan.

SANDAKAN: Ahli Dewan Undangan Sekong, Datuk Samsudin Yahya meminta golongan ibu bapa supaya tidak menyalah guna bantuan persekolahan yang diberikan kepada anak mereka.

Menurut beliau, bantuan itu perlu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk menyediakan kelengkapan persekolahan terutama buku-buku, pakaian dan peralatan yang diperlukan untuk pembelajaran.

“Para ibu bapa perlu memahami bahawa bantuan ini diberikan oleh kerajaan bagi memastikan kanak-kanak kurang berkemampuan dapat mengikuti pembelajaran di sekolah dengan lebih baik dan sempurna.

“Kerajaan tidak mahu masalah kemiskinan menjadi penghalang kepada kanak-kanak ini untuk mengikuti pelajaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Penyerahan Bantuan Khas Awal Persekolahan kepada 228 pelajar SK Kampung Bahagia, Sandakan.

Menurut Samsudin yang juga Ketua UMNO bahagian Batu Sapi, pendidikan amat penting kepada seseorang kanak-kanak kerana bakal menjadi penentu kepada masa depan mereka suatu hari nanti.

“Ibu bapa perlu sedar bahawa hanya dengan pendidikan seseorang itu dapat mengubah kehidupan dan masa depannya. Sebab itu kerajaan amat prihatin dengan sector pendidikan ini dengan memastikan tidak ada seorang pun yang tercicir,” katanya.

Beliau berkata, para ibu bapa pula perlu memberi sokongan kepada kerajaan dalam memantau perkembangan anak masing-masing dan tidak hanya membiarkan kepada guru-guru dalam proses pendidikan itu.

Katanya, masalah kemiskinan dan kekurangan tidak sewajarnya dijadikan alasan untuk menyekat hak kanak-kanak terbabit untuk mengikuti persekolahan.

“Ibu bapa dalam hal ini perlu bijak dalam mengatur perbelanjaan harian dengan lebih memberi keutamaan kepada perkara-perkara pendidikan kerana ada sebilangan ibu bapa boros dalam membeli keperluan lain tetapi tidak mahu mengeluarkan belanja untuk pendidikan anak-anak.

“Begitu juga dalam perbelanjaan makan minum di sekolah contohnya, ibu bapa boleh menyediakan makanan sebagai bekal mereka kerana bukan sahaja dapat menjimatkan belanja tetapi juga memastikan mereka makan makanan sihat,” tambah beliau.

Dalam majlis itu juga, Samsudin turut mengumumkan membina laluan pejalan kaki berbumbung untuk kemudahan sekolah tersebut. Selain pengagihan 268 murid untuk Program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di SK Kampung Bahagia, Sandakan.

Turut hadir sama Guru Besar SK Kg. Bahagia Asmat Aliaman, Penolong Kanan HEM Salamah Sawedi, guru-guru, ibu bapa, murid sekolah serta ahli jawatankuasa UMNO bahagian Batu Sapi.