Radin: Menangkis Tohmahan Pembangkang, Menerangkan Perjuangan PBS Dan BN

163
Radin menyampaikan angpau kepada kanak-kanak sempena Chap Goh Mei kepada kanak-kanak selepas mesyuarat agung tahunan PBS cawangan Ulloi. – Gambar ihsan Thomas Ralon

TENOM – Datuk Seri Panglima Radin Malleh berkata syor pencalonan beliau semula dalam pilihanraya umum akan datang tertakluk kepada keputusan pucuk pimpinan parti walaupun ia telah diumumkan oleh mantan Presiden PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan tahun lepas.

Naib Presiden Parti Bersatu Sabah itu yang juga merupakan ADUN Melalap, turut menggesa ahli-ahli PBS terutamanya di Tenom supaya bersatu menghadapi cabaran-cabaran parti terutamanya menangkis tohmahan parti pembangkang dan menerangkan perjuangan PBS dan BN kepada rakyat.

Radin yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah menegaskan persaraan Pairin juga tidak melunturkan semangat perjuangan PBS kerana barisan kepimpinan baharu parti yang diketuai oleh Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Ongkili

Beliau berkata Dr Maximus amat berpengalaman luas dalam politik dan pentadbiran kerajaan mampu menggalas tanggungjawab memimpin PBS.

Radin yang juga ketua bahagian PBS Melalap berkata perjuangan PBS yang akan berusia 32 tahun pada 5 Mac ini perjuangan PBS sentiasa relevan dengan landskap politik berbilang kaum di Sabah pada hari ini.

Radin berucap di perasmian mesyuarat agung tahunan cawangan PBS Ulloi Tenom serta menerima 10 borang keahlian baharu PBS daripada Ambrose Karim baru-baru ini.

Beliau menambah pengetahuan dan pemahaman ahli-ahli terhadap perjuangan dan pencapaian parti membolehkan mereka menangkis pelbagai tohmahan terhadap PBS dan BN.

“Dasar-dasar di era kerajaan PBS tersebut diteruskan oleh Kerajaan BN Sabah sehingga pada hari ini dan membuktikan dasar-dasar berkenaan secocok dengan aspirasi rakyat berbilang kaum di Sabah,” katanya.

Beliau menegur kegagalan ahli-ahli PBS menghadiri mesyuarat-mesyuarat agung tahunan cawangan dan bahagian parti serta aktiviti-aktiviti parti kerana ia akan melemahkan parti.

“Ada ahli-ahli parti yang tidak hadir ke mesyuarat agung tahunan walaupun menerima jemputan rasmi dengan memberikan alasan mereka terbabit dengan komitmen lain walhal mesyuarat agung tahunan itu hanya dijalankan dalam masa 2-3 jam sahaja.

Radin mengingatkan ahli-ahli PBS agar tidak mudah terpengaruh dengan hasutan para penentang parti bahawa PBS tidak lagi lantang menyuarakan perjuangannya kerana andaian mereka itu tidak benar sama sekali.