Projek Jalan Pesisir RM170 Juta Di Labuan Bermula Akhir Tahun Ini – Rozman

6562
Rozman Isli

LABUAN: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM170 juta bagi projek pembinaan jalan pesisir pantai sepanjang lima kilometer dari Tanjung Taras, Membedai ke Tanjung Aru di pulau ini, yang akan bermula tahun ini.

Anggota Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli berkata projek itu adalah sebahagian daripada rancangan untuk mengubah landskap pembangunan di pulau ini bagi mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas di pusat bandar.

“Kerajaan serius dalam usahanya untuk memajukan pulau ini supaya menjadi setara dangan negeri lain, dan bercanggah dengan dakwaan pembangkang, landskap pembangunan di pulau ini telah mengalami perubahan besar,” katanya pada sidang akhbar di sini Sabtu.

Beliau berkata kerja awal bagi projek itu, termasuk reka letak dan reka bentuk serta urusan dokumentasi telah dimulakan lewat tahun lepas, manakala tender mengenainya pula akan dikeluarkan tahun ini.

“Kami memerlukan satu laluan alternatif ke bandar bagi menambah baik ketersambungan pulau ini kerana ia akan membantu merintis jalan kepada pembangunan baharu dan kemajuan pelancongan di kawasan sekitarnya seperti projek pembangunan tebingan yang terletak bersetentang dengan tanah besar Sabah,” katanya.

Rozman berkata terminal feri roll on-roll off (ro-ro) sedia ada juga akan dinaik taraf tidak lama lagi, termasuk menambah tanjakan pendaratan bagi memendekkan tempoh waktu menunggu, yang sekali gus meningkatkan kecekapan jadual feri.

Setiap hari, lima feri beroperasi di terminal itu bagi perjalanan Labuan-Menumbok-Labuan dan Labuan-Brunei-Labuan.