Polis Beluran Buru Suspek Perogol Yang Lari Ketika Insp. Beli Makanan

635
Nasrudi @ Sudi Ambo

BELURAN: Seorang banduan dipercayai menggunakan alasan lapar dan ingin berbuka berpuasa sebelum bertindak meloloskan diri daripada kawalan polis berhampiran sebuah restoran di pekan Nangoh, di sini Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.15 malam itu, suspek, Nasrudi @ Sudi Ambo, 29, yang telah diberikan makanan dan berbuka puasa melarikan diri bersama gari ketika ketiga-tiga pegawai dan anggota polis yang mengiringinya membelikannya air.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintenden V. Shivanathan berkata, ketika makan, kedua-dua tangan suspek yang digari di belakang telah ditukar ke depan bagi memudahkannya makan.

“Polis kini giat memburu suspek bagi membantu siasatan kes berkenaan dan percaya lelaki itu masih lagi bersembunyi di kawasan tersebut.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta menghubungi balai polis berhampiran,” katanya.

Mengikut Shivanathan, setelah selesai makan, pengadu, seorang Inspecktor, bersama dua anggota polis, keluar membelikan minuman serta memindahkan suspek duduk di bahagian belakang.

“Tidak sampai tiga minit dan kembali ke kereta, pasukan polis mendapati suspek telah tiada dan dipercayai melarikan diri ke kawasan ladang kelapa sawit berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan pada hari Ahad.

Sivanathan menambah, pasukan polis kemudian mengejar dan memburu suspek di kawasan ladang kelapa sawit tersebut bagaimanapun gagal menemukannya.

Ujarnya, lelaki itu merupakan suspek kes rogol yang berlaku di kebun kelapa sawit Kampung Bakung-Bakung, di sini Sabtu lalu.

Kata beliau lagi, suspek dibawa keluar bagi menunjukkan lokasi kejadian selain mengesan bahan bukti yang digunakan pada kejadian rogol tersebut untuk melengkapkan siasatan.

Polis juga sudah merakam percakapan anggota polis terbabit dan melancarkan Ops Tutup untuk mengesan suspek.