Pilih Politik Atau Perniagaan, Kata Shafie Kepada Calon YB Parti Warisan

889
Warisan juga akan menubuhkan kementerian pendidikan, kata Shafie. 

KOTA KINABALU: Bakal calon Parti Warisan Sabah diberitahu dengan tegas bahawa merek harus memilih antara politik atau perniagaan.

Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal memberitahu mereka tidak boleh menjadi ahli politik dan ahli perniagaan pada masa yang sama.

Katanya ini akan menyebabkan persaingan yang tidak sihat antara mereka dan komuniti perniagaan yang akan menyebabkan berlakunya rasuah.

“Jika ingin menjadi YB (wakil rakyat) kamu perlu terlibat sepenuh masa dan tumpukan tanggungjawab kepada tugas kamu sambil berkhidmat kepada rakyat. Biarkan ahli perniagaan menjalankan perniagaan. Kamu tidak patut bersaing dengan mereka,” tambahnya.

Shafie berkata kerajaan Warisan akan membayar gaji wakil rakyatnya dengan kadar yang setimpal untuk mengelakkan mereka daripada terjebak dalam gejala negatif.

“Itulah janji baru di bawah kerajaan Warisan,” ujar Shafie yang disambut dengan tepukan gemuruh pada satu perhimpunan Tahun Baru Cina di Kota Kinabalu baru-baru ini.

STRUKTUR SEMULA YAYASAN SABAH

Beliau berkata Yayasan Sabah akan distruktur semula untuk berkhidmat kepada rakyat dengan lebih berkesan kerana pada dasarnya, yayasan itu telah ditubuhkan untuk kebaikan mereka.

“Lebih dari satu juta hektar tanah balak telah diperuntukkan kepada mereka supaya hasil keuntungan dapat digunakan untuk aktiviti sosio-ekonomi yang memberi faedah kepada rakyat,” katanya.

“Malangnya, hingga ke hari ini tiada siapa pun tahu ke mana hasilnya pergi. Tetapi ada buku mengatakan berjuta-juta dolar Amerika disimpan dalam ‘Swiss account’ seseorang.

“Individu ini tidak menjawab cabaran kami untuk mengeluarkan saman terhadap penulis buku itu. Kenapa? Adakah terdapat kebenaran dalam laporan yang ditulis dalam buku itu?
“Kami akan menyiasat perkara ini. Kami akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Swiss. Kamu mahu duit itu kembali ke Sabah.

“Kami akan lakukan segala apa yang perlu untuk mengembalikan duit yang berjumlah berjuta-juta dolar itu kerana ia milik rakyat sekiranya duit itu hasil dari penjualan balak milik Yayasan Sabah.”

Shafie juga berkata tanah yang pernah diberikan kepada Felda untuk membuka skim penempatan dan tidak digunakan untuk tujuan demikian, akan ditarik balik.

TANAH FELDA AKAN DIURUSKAN OLEH AGENSI SABAH

“Kenapa harus agensi federal menerima faedah dari aktiviti komersil yang dijalankan atas tanah yang sepatutnya untuk rakyat Sabah. Agensi negeri kita mampu membangun tanah itu dengan kelapa sawit dan hasilnya akan kekal di Sabah,” katanya.

Mengenai perkhidmatan awam, Shafie berkata mereka yang sudah mencapai umur persaraan patut memberi laluan kepada penjawat awam yang layak dinaikkan pangkat untuk menggantikan mereka.

“Kita sememangnya mempunyai muka baru yang layak mengambil alih tempat mereka yang wajib bersara. Perkhidmatan tidak akan dilanjutkan seolah-olah kita tidak ada orang yang layak.

“Dengan demikian, kita akan mempunyai satu perkhidmatan awam yang segar dan baru; mereka tahu mereka mempunyai peluang untuk kenaikkan pangkat berdasarkan merit dan kelayakkan.”

Shafie berkata kerajaan Warisan akan menubuhkan Kementerian Pendidikan dan mewajibkan sejarah Sabah dimasukkan dalam sukatan pelajaran yang ada sekarang supaya generasi muda mengenali sejarah Sabah yang gilang-gemilang.

Kementerian itu juga akan melihat kepada keperluan guru dan membantu pelajar-pelajar yang memerlukan pertolongan.

“Warisan akan membantu sekolah-sekolah Cina. Kami akan membantu dari segi kewangan. Kami akan membantu semua sekolah di Sabah kerana kami percaya pendidikan adalah satu aspek yang amat penting dalam kehidupan,” katanya.