Perkhidmatan Radin Malleh Sebagai ADUN Melalap Masih Di-Perlu – PBS

190
Dr. Maximus bersalaman dengan ahli PBS Melalap selepas perasmian program itu. – Gambar ihsan Thomas Ralon

TENOM: Sebanyak 15 cawangan PBS di Pusat Daerah Mengundi Melalap, Tenom menyatakan sokongan mereka kepada Datuk Seri Panglima Radin Malleh, Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah agar dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusi dewan undangan negeri Melalap pada pilihanraya umum akan datang.

Cawangan-cawangan PBS berkenaan ialah Tukalilan/Nalansitan, Ulu Oloson, Kasiai, Langsat, Lampam Mas, Buna, Pagansangon, Pekan Melalap, Sawang, Jawa Melalap, Jawa 2 (baharu), Tambalang Nampongo (baharu), Tepoh Hilir (baharu), Ulu Sumbiling dan Mosolog.

Sokongan mereka diumumkan di majlis penutupan mesyuarat agung tahunan gabungan 15 cawangan tersebut dan sambutan ulang tahun PBS ke 32 yang dirasmikan oleh pemangku presiden PBS merangkap Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Malaysia, Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Johnity Ongkili bertempat di Dewan Datuk OKK Sanggau Jalang, Pekan Melalap baru-baru ini.

Di majlis itu juga, Dr. Maximus menerima 100 borang keahlian baharu PBS daripada Aliong Langut dan Joseph Liansim yang mewakili cawangan-cawangan berkenaan.

Radin yang juga ketua bahagian PBS Melalap dalam ucapannya menghargai sokongan mereka dan menyerahkan keputusan pencalonannya itu kepada pucuk pimpinan parti.

Presiden PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan telah mengumumkan Radin sebagai calon PBS yang mempertahankan kerusi DUN Melalap dalam pilihanraya umum akan datang semasa merasmikan mesyuarat agung tahunan PBS bahagian Melalap pada 20 Ogos 2016 lepas.

Radin berkata beberapa faktor kekalahan tipis BN-PBS di kawasan-kawasan PDM Tenom Utara, PDM Tenom Selatan serta Pangi dalam pilihanraya 2013 dijadikan iktibar dan dorongan bagi ahli-ahli PBS Melalap untuk memenangi semula kawasan-kawasan itu dalam pilihanraya akan datang.

Radin yang juga naib presiden PBS berkata pelbagai reaksi orang ramai berhubung persaraan Pairin sebagai presiden PBS tidak melemahkan semangat ahli-ahli parti serta menggugat perjuangan PBS kerana penggantinya iaitu Dr. Maximus adalah seorang pemimpin yang berwibawa, berpengalaman, berpendidikan dan menerima sokongan padu ahli-ahli parti.

Radin menjelaskan sejak tahun 1985 lagi PBS telah berjuang untuk semua kaum dan menyuarakan hak-hak Sabah yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia seperti Borneonisasi, isu-isu pendatang asing dan keselamatan serta pembangunan di Sabah.

Beliau berkata ahli-ahli parti harus bekerjasama menguatkan parti dan bukannya melakukan tindakan-tindakan yang boleh memecahkan perpaduan ahli-ahli dan melemahkan parti.