Penduduk Sandakan Tidak Lepaskan Peluang Jumpa PM Dengan Bersalam, Bersuafoto

333

SANDAKAN: Penduduk Sandakan, termasuk golongan muda, tidak melepaskan peluang bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan berusaha sedaya upaya, meskipun terpaksa berasak-asak, untuk bersalaman atau bersuafoto dengannya.

Najib yang membuat tinjauan mesra di kawasan Sandakan Harbour, kawasan yang indah dengan pemandangan tepi lautnya di tepi bandar Sandakan itu, pula tidak menghampakan harapan rakyat dengan sedapat yang boleh menghulurkan tangan bersalaman ataupun berhenti sejenak bersuafoto.

Malah sehingga perdana menteri hendak menaiki kenderaan ke Lapangan Terbang Sandakan untuk bertolak ke Kota Kinabalu pun, rakyat masih mengerumuninya sambil menghulurkan tangan untuk bersalaman dan Najib tetap melayan mereka.

Semasa kenderaan perdana menteri meluncur pergi, rakyat bersorak sambil melambaikan tangan atau bertepuk tangan tanda berpuas hati dan gembira berpeluang bersama perdana menteri walaupun cuma seketika.

“Inilah kali pertama dalam hidup saya dapat bertemu Perdana menteri. Tak sangka saya dapat jumpa dia di sini. Tak sangka dia datang ke meja tempat saya minum dan bersalaman dengan saya.

“PM tanya, saya berasal dari mana, saya kata saya berasal dari Sandakan juga,” kata Dewiana Mustamin, 46, yang nyata begitu teruja dapat melihat Najib di depan matanya kepada Bernama.

Dewiana yang sudah berniaga kain terpakai selama 11 tahun berkata dia memang tahu perdana menteri akan ke Sandakan Harbour Cafe dan menunggu kedatangannya sejak pagi tadi dengan harapan dapat melihatnya dari jauh pun tidak mengapa namun tidak menyangka Najib bertandang ke mejanya.

Adik Dewiana, Normas, yang berkongsi perasaan keterujaan kerana dapat berjumpa perdana menteri pula berkata inilah pertemuan pertamanya dengan pemimpin nombor satu negara itu.

“Dia datang ke meja kami. PM tanya, apa ni? Saya jawap ‘pisang cheese’. PM pula kata ‘nampak sedap’, katanya sambil senyum kegembiraan.

Norafizah Abdul Min, dari Tawau, pula berkata dia juga teruja kerana selama ini dia cuma dapat menyaksikan perdana menteri melalui televisyen namun hari ini, tanpa diduganya, dapat bersalaman dengan pemimpin berkenaan.

“Ini akan menjadi kenangan saya sepanjang hayat. Ia akan menjadi bahan cerita saya nanti. Cuma saya sedih kerana tidak dapat bergambar dengan perdana menteri. Kalaulah dapat, ia boleh menjadi bukti bahawa saya pernah jumpa pemimpin negara ini,” katanya.

Semasa melakukan tinjauan mesra berkenaan, Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman serta timbalannya Datuk Seri Raymond Tan Shu Kiah singgah minum petang di Sandakan Harbour Cafe, milik anak Datuk John Lim, seorang pengusaha pelancongan di Sandakan.

Mereka dijamu dengan kuih muih tradisional seperti pulut panggang, putumayam (ubi kayu rebus tumbuk), pau dan pisang cheese.