Pemandu Lori Maut Dalam Kemalangan Di Bukit Ular Jalan Nangoh-Paitan

242

BELURAN: Seorang pemandu lori maut dan dua kelindannya cedera parah dalam nahas jalan raya di Bukit Ular, Kilometer 76.9 Jalan Nangoh-Paitan dekat sini, hari Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, lori tersebut yang membawa muatan baja terbabas ketika menuruni bukit lalu terbalik.

Ketua Polis daerah Beluran Supt Shivanathan Velautham berkata pemandu lori, Ahmad Nongkang, 59, yang tersepit di dalam lori tersebut, mati di tempat kejadian.

Katanya dua kelindan lori itu, Jeprii Azis, 35, patah kedua-dua kaki, manakala Rosli Ruma, 34, patah bahagian paha.

Mayat Ahmad yang tersepit kemudian dikeluarkan dari lori itu dengan bantuan anggota bomba dan penyelamat.

Beliau berkata siasatan polis mendapati kes kemalangan ini berpunca daripada kegagalan pemandu untuk mengawal kenderaan apabila tiba di jalan yang berselekoh tajam, curam dan menuruni bukit.