Pelancaran Gerakan Pemuda DAP Pensiangan; Komited Tawan Pensiangan

885

Oleh FADILAH MICHAEL
SOOK: DAP melancarkan gerakan untuk memantapkan lagi usaha untuk menawan Pensiangan dengan pelancaran Gerakan Belia DAP (DAPSY) Pensiangan bertempat di Pusat Khidmat Komuniti DAP.

Acara itu dirasmikan oleh Wong Kah Woh, seorang ADUN dari Perak yang juga Ketua DAPSY kebangsaan.

Majlis dihadiri oleh perwakilan belia yang mewakili Mukim Dalit, Sook dan Tulid seramai lebih 30 orang mengisi borang keahlian dan seterusnya menubuhkan Ahli Jawatankuasa Tertinggi Belia DAP Pensiangan dengan diketuai oleh Bodrick Paunus sebagai ketua belia.

“Saya berharap dengan tertubuhnya Belia DAP Pensiangan ini kita akan lebih berusaha untuk memantapkan lagi perjuangan kita sebagai belia yang mahu melihat perubahan di Negara, khususnya Sabah, pada pilihanraya yang akan datang.

“Belia adalah suara masa depan,” kata Bodrick pada majlis tersebut. “Jangan lagi kita duduk diam dan hanya melihat kelemahan dan kegagalan kerajaan yang mewakili rakyat sekarang.

Dalam ucapan beliau, Wong Syu Qi seorang ADUN dari Johor berkata dia telah melihat berapa ramainya penyertaan belia Sabah dalam usaha untuk berjuang demi kehidupan yang lebih baik, makmur dan harmoni.

“Kita berjuang bersama-sama untuk mencapai perubahan yang lebih adil dan saksama. Sabah harus berada dibarisan hadapan parti dan bakal menentukan keputusan pilihanraya yang akan datang,” kata beliau.

“DAP sendiri menawarkan satu perjanjian baru yang bukan saja mengikhtiraf hak autonomi Sabah sebagai rakan bersekutu dalam Malaysia tetapi juga memulangkan semula hasil pungutan cukai Sabah sebanyak 50% dan pengurusan penuh terhadap pendidikkan dan kesihatan sekiranya Pakatan Harapan menjadi kerajaan persekutuan.”

Dalam ucapan pelancaran tersebut, Wong Kah Woh juga mengajak semua belia untuk bangkit dan sama-sama berjuang menentang kerajaan yang kleptokrasi.

“Belia mesti berani ubah dan menjadi pemangkin kepada perubahan. Selagi kita berusaha dengan gigih, tidak ada satu apa pun yang boleh menghalang kita untuk Berjaya,” ujar beliau.

Turut hadir sama di pelancaran tersebut ialah Hendry Shim, setiausaha organisasi DAP dan DAPSY Sabah, serta Bryan Liew, setiausaha kebangsaan DAPSY.