Pelajar Kolej Antara Tiga Lelaki Ditahan Disyaki Edar Ganja Di KK

317
Polis bandaraya merampas ganja seberat 65 gram daripada sapek, termasuk seorang pelajar kolej.

KOTA KINABALU – Polis menahan tiga lelaki termasuk seorang pelajar kolej kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran ganja di sekitar bandar raya ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP M Chandra berkata polis juga turut merampas ganja bernilai RM4,000 daripada kesemua suspek dalam tangkapan yang dilakukan malam semalam (Isnin).

Dalam satu kenyataan hari Selasa, beliau berkata tangkapan pertama melibatkan penuntut berusia 20 tahun tersebut di kawasan Api-Api Centre pada 8.10 malam dan polis menemukan ketulan tumbuhan kering dipercayai ganja yang sebelum itu cuba dibuang oleh suspek.

Soal siasat ke atasnya membawa kepada penangkapan dua lagi, masing-masing berusia 26 dan 27 tahun, kira-kira setengah jam kemudian di Jalan Damai, Luyang dan polis merampas ganja seberat 65 gram daripada kedua-dua mereka.

Selain itu polis turut merampas wang tunai berjumlah RM1,648 daripada mereka dan sebuah kereta jenis Isuzu.

Kesemua suspek kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan menurut Seksyen 38B, Seksyen 39A (2) dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952.