Pegawai Imigresen Wanita Di S’kan Ditangkap Terbabit Kegiatan DAESH

7388
Gambar hiasan sahaja.

KUALA LUMPUR: Seorang kakitangan wanita yang bertugas sebagai Pegawai Pemeriksa Dokumen Jabatan Imigresen Malaysia di Lapangan Terbang Sandakan antara tujuh suspek terbaru yang ditangkap kerana disyaki terbabit kegiatan DAESH di negara ini.

Menurut laporan yang dipetik dari bharian.com.my, wanita berusia 31 tahun itu ditahan oleh Bahagian Anti-Keganasan Cawangan Khas Bukit Aman dalam satu operasi di Sandakan, pada 9 Mac lalu.

Suspek disyaki menggunakan jawatannya untuk membantu kemasukan individu yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah termasuk anggota DAESH dari Indonesia dan Malaysia untuk menyusup masuk dan keluar ke Filipina melalui Sabah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata terdahulu pihaknya berjaya menangkap dua anggota DAESH warga Filipina dengan salah seorangnya memiliki status pemastautin tetap Malaysia dalam operasi di Kota Kinabalu, Sabah pada 8 Mac lalu.

Gambar ihsan Berita Harian online

“Suspek pertama berusia 27 tahun disyaki terbabit kegiatan mengumpul dana untuk disalurkan kepada Dr Mahmud Ahmad dan Mohamad Joraimee Awang Raimee, iaitu warga Malaysia yang menyertai DAESH di selatan Filipina sejak 2014.

“Manakala seorang lagi suspek berusia 18 tahun adalah anggota DAESH yang berbai’ah dengan Isnilon Hapilon, salah seorang pemimpin kanan kumpulan pengganas Kumpulan Abu Sayyaf (ASG) di Basilan,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Bukit Aman, hari Isnin.

Gambar ihsan Berita Harian online

Katanya, dalam operasi di Sandakan, Sabah pada 9 Mac pula, selain tangkapan ke atas seorang wanita kakitangan Jabatan Imigresen itu, dua tangkapan turut dibuat ke atas dua warga Filipina yang bertaraf pemastautin tetap termasuk seorang wanita.

“Suspek masing-masing berusia 53 tahun (wanita) dan 40 tahun yang mana suspek wanita bekerja sebagai penjual tiket feri dan suspek lelaki pula seorang buruh.

“Siasatan mendapati sejak hujung tahun lalu kedua-duanya menguruskan penyusupan masuk tiga anggota DAESH dari Indonesia ke Selatan Filipina melalui Sabah,” kata Khalid.

Katanya lagi, satu lagi tangkapan dalam operasi di Sandakan membabitkan seorang mekanik kereta warga Filipina. Siasatan mendapati suspek berusia 36 tahun itu didapati merancang berlepas ke Syria untuk menyertai kumpulan pengganas DAESH.

Menurutnya, kesemua tujuh suspek disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIA-kesalahan berkaitan dengan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).

BERITA LANJUT:
http://www.bharian.com.my/node/259339?m=1