Pasukan Keselamatan M’sia Tembak Mati Komander Abu Sayyaf Di Silam

1655
Ramli Din menunjuk peluru yang dirampas.

LAHAD DATU: Lelaki yang ditembak mati oleh pasukan keselamatan di perairan laut Silam, Lahad Datu, awal Isnin pagi, dipercayai ahli kumpulan Abu Sayyaf (ASG) berpangkat komander.

Abu Paliyak, 31, atau lebih dikenali sebagai Komander Paliyak @ Yusuf ditemui mati di atas bot dipandunya dengan beberapa kesan tembakan di tubuhnya.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Ramli Din berkata, siasatan mendapati suspek terbabit dalam beberapa kes rompakan dan penculikan di kawasan perairan Kunak dan Lahad Datu sekitar 2014.

“Pemeriksaan ke atas badan suspek mendapati ada hampir sembilan parut lama dipercayai kesan tembakan dan terkena bahan letupan di paha kanan, perut dan lengan kanan.

“Jari tengah kiri suspek juga dikesan putus berikutan kecederaan lama,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu di sini, hari Isnin.

Yang turut hadir ialah Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Hazani Ghazali, dan Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Yazib Abdul Aziz.

Ramli Din, Hazani Ghazali dan Yazib Abdul Aziz, kanan, disidang media di Lahad Datu Isnin petang.

Ramli berkata, suspek dipercayai adalah tali barut kes culik untuk tebusan (KFR) didalangi kumpulan Remy yang aktif melakukan jenayah rentas sempadan di selatan Filipina dan pantai timur Sabah.

“Suspek dipercayai keluar ke laut bagi membuat pemerhatian pergerakan pasukan keselamatan dan menyalurkan maklumat itu kepada kumpulan KFR bagi melakukan jenayah rentas sempadan di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

“Polis akan menjalankan siasatan terperinci bagi mengesan saki-baki tali barut dan ahli kumpulan yang masih bebas,” katanya.

Click on the advertisement to know more.

Ramli berkata, ketika kejadian, pasukan keselamatan merangkumi pasukan khas ESSCOM dan Pasukan Polis Marin (PPM) Lahad Datu yang menjalankan rondaan di perairan Pulau Kantong Kalungan, di sini, mengesan bot dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.

“Apabila dihampiri, pemandu bot tiba-tiba memecut dan melepaskan satu das tembakan, menyebabkan pasukan keselamatan melepaskan tembakan balas.

“Selepas beberapa minit, polis menghampiri bot suspek dan seorang lelaki ditemui terbaring dalam bot berkenaan dengan kesan tembakan,” katanya.

Katanya, pemeriksaan menemui selaras senapang patah yang diubah suai bersama sebutir kelongsong peluru dan sebutir peluru 12 bore. – Ainul Durmahyanty Durming/ bharian.com.my

BERITA SELANJUT: –

https://www.bharian.com.my/berita/kes/2017/12/358635/komander-abu-sayyaf-mati-ditembak