Parti Pembangkang Perjuangkan Hak Sabah Demi Politik Semata-Mata

155

KOTA BELUD: Parti pembangkang tempatan Sabah memperjuangkan hak-hak Sabah hanya untuk kepentingan politik semata-mata, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Sebaliknya, kata beliau, Barisan Nasional (BN) memperjuangkan hak-hak Sabah dengan konsisten dan bukan hanya kerana politik.

“Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga tidak pernah mengabaikan kebajikan rakyat Sabah dan Sarawak serta mengiktiraf 16 Sept setiap sebagai cuti umum ekoran pembentukan Malaysia.

“Oleh itu jangan terpengaruh dengan slogan pembangkang ‘Sabah Untuk Sabahan’ yang kononnya untuk memperjuangkan hak-hak Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pemimpin Bersama Rakyat dan Penyerahan Watikah Pelantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pirasan Lama Sesi 2017-2018, dekat sini hari Sabtu.

Salleh berkata kerajaan BN dari dahulu sehingga kini telah memperjuangkan segala kepentingan rakyat Sabah termasuk hak-hak yang sepatutnya diperoleh mereka.

Pada masa sama, Salleh meminta rakyat supaya mengurangkan sikap berpolitik dan sebaliknya bersatu padu dalam usaha kerajaan untuk memajukan negeri serta negara.

“Kalau kita asyik berpolitik sahaja…sampai bila dapat menyelesaikan masalah yang dibangkitkan rakyat. Marilah kita semua mengurangkan perpecahan dalam politik agar pembangunan dan kemajuan negara dapat dilaksanakan,” katanya.

Pada majlis itu, Salleh turut meluluskan RM60,000 untuk menaik taraf padang di Kampung Pirasan dan peruntukan sebanyak RM30,000 untuk kegunaan JKKK di kampung berkenaan.