Pandikar Menghina Rakyat Sabah; Jemput Minum Kopi Bersama Pewarsa

1363

SURAT TERBUKA KEPADA PANDIKAR AMIN MULIA SPEAKER DEWAN RAKYAT MALAYSIA

SAIFUL MINGGU

Oleh MOHD SAIFULLAH BIN MINGGU
KOMEN: Saya simpati dengan Pandikar Amin yang dikatakan tidak dapat menghabiskan air kopi yang sedang dinikmati akibat “tersembur” keluar selepas membaca berita yang dikatakan berkaitan dengan beliau. Dengan keadaan ekonomi Malaysia yang lembab pada ketika ini, setiap sen adalah sangat bernilai.

Oleh yang demikian, saya selaku Presiden PEWARSA (sebuah badan bukan kerajaan yang bergiat aktif di Negeri Sabah) ingin mempelawa Pandikar untuk minum kopi bersama kami sambal-sambil kita merungkai isu yang kini hangat dibualkan, terutama sekali oleh anak-anak muda belia di Negeri Sabah ini.

Sekiranya Pandikar serius untuk menyuarakan hak-hak Sabah yang termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia 1963, adalah lebih baik beliau memberi cadangan untuk membuka ruang kepada ahli-ahli Yang Berhormat dari Sabah untuk berdebat semasa sesi Dewan Rakyat.

Elok juga berbekalkan tempoh masa yang masih ada, Pandikar selaku YDP Dewan Rakyat tengok-tengok jika ada permohonan dari Dewan Undangan Negeri Sabah berkaitan dengan usul penambahan kerusi di DUN Sabah.

PANDIKAR AMIN

Mencabar Presiden Parti Warisan Sabah yang juga Ahli Parlimen Semporna adalah tindakan kebudak-budakan, buang masa dan tidak setaraf dengan Pandikar, kerana Shafie adalah seorang Ahli Parlimen sedangkan Pandikar Amin adalah Speaker Dewan Rakyat.

Selaku Presiden NGO yang memperjuangkan kesedaran bangsa Sabah, bagi saya adalah satu penghinaan terhadap rakyat Sabah apabila ada pihak yang sengaja mempersenda kononnya Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia yang asal ini adalah setaraf dengan negeri-negeri yang MERDEKA di dalam Persekutuan Tanah Melayu 1957.

Ukur baju di badan sendiri dan jangan meludah ke langit nanti jatuh ke muka sendiri. Itu nasihat ikhlas saya kepada Pandikar selaku orang Sabah yang berasal dari daerah Kota Belud itu.

Click on the advertisement to know more.

Mungkin akan ada pihak-pihak tertentu yang mengatakan siapa saya dan juga mungkin ada juga yang bertanya apa kelayakan saya untuk mengajak Pandikar berdebat? Bagi saya tidak salah kerana Pandikar juga merupakan Presiden USBO (iaitu sebuah NGO) adalah sama taraf dengan pertubuhan yang kini saya wakili iaitu PEWARSA.

Saya amat berbesar hati untuk mewakili suara anak muda Sabah untuk diberi peluang dalam satu forum debat bersama Presiden USBO itu bagi memberi penjelasan kedudukan Sabah dalam Persekutuan Malaysia yang rasanya beliau terlepas pandang.

Mungkin dalam kesempatan ini saya dapat memberi gambaran jelas kepada Speaker untuk memahami perjuangan yang dibawa oleh Presiden Parti Warisan Sabah.

Ini bukan soal angkat kaki tapi ini soal maruah seluruh rakyat Sabah. Syabas saya ucapkan kepada Pandikar kerana berlapang dada membaca surat jemputan ini dan seterusnya dapat memberikan jawapan balas seberapa segera.

Dr Mohd Saifullah bin Minggu ialah Presiden PEWARSA