Nyatakan Pendirian Mengenai RUU355, PBS, PBRS, UPKO Di Cabarkan

1310
Francis Au

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah mendesak presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), United Pasokmomogun Kadazandusun Murut Organization (UPKO) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) untuk menyatakan pendirian mereka mengenai Rang Undang-Undang (RUU) 355 secara jelas kepada rakyat Sabah.

PBS, UPKO dan PBRS selaku pakatan UMNO Barisan Nasional di Sabah perlu menyatakan pendirian berikutan kenyataan Pemuda UMNO Malaysia pada Khamis lalu menyokong perhimpunan Rang Undang-Undang (RUU) 355 anjuran PAS yang akan diadakan Sabtu ini.

Hudud tidak pernah diamalkan di Sabah. Atas sebab itu, maka Warisan sebagai sebuah parti berbilang kaum dan agama amat menentang undang-undang hudud, kata Francis Au, ketua penerangan Wira Warisan Sabah merangkap ketua Wira Warisan Kota Marudu.

Warisan amat mengambil berat mengenai hakikat bahawa isu hudud dan RUU355 terus hangat diperkatakan di akhbar dan media social, katanya.

“Perkembangan yang terkini telah menimbulkan kebimbangan di kalangan rakyat Sabah mengenai perbahasan Rang Undang-Undang Hadi pada sesi Parlimen yang akan datang bermula pada 6 Mac, nanti,” tambah beliau.

Pada 24 November lalu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membawa usul RUU persendirian iaitu RUU Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 di Dewan Rakyat untuk memperkasakan Mahkamah Syariah dalam melaksanakan hukuman jenayah.

RUU itu bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang turut dikenali Akta 355.

Di kebanyakkan siri Jelajah Warisan, presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal telah menyatakan dengan jelas seiring dengan pendirian Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari menentang Rang Undang-undang Hudud.

Shafie, yang juga Ahli Parlimen Semporna bersama timbalannya, Darell Leiking yang juga Ahli Parlimen Penampang akan mengundi untuk menolak rang undang-undang yang meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, juga dikenali sebagai Akta 355.

Rang undang-undang ini akan menyebabkan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di Sabah akan terjejas dan ianya bertentangan dengan syarat-syarat Perjanjian Malaysia 1963, yang mengisytiharkan Sabah sebagai sebuah negara secular, Francis berkata.

Justeru, Warisan mendesak parti-parti komponen BN di Sabah ini untuk menyatakan pendirian mereka kepada rakyat Sabah mengenai hal ini.

Khamis lalu, naib ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairul Azwan Harun dalam kenyataannya membenarkan ahli cabang sayap itu menyertai himpunan berkenaan dan ianya merupakan keputusan dan pendirian Pemuda Umno terhadap perhimpunan yang akan diadakan di Padang Merbok yang telahpun mendapat kelulusan daripada polis.

Khairul dipetik berkata kita tidak boleh menghalang sesiapa pun daripada menyertai perhimpunan itu. Itu pendirian dan keputusan kita, katanya selepas mesyuarat Pemuda Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra.

Pada Perhimpunan Agung Umno Disember lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata Kerajaan Persekutuan akan mengambil alih rang undang-undang itu daripada PAS kelak.