Nasi ‘Tehe-Tehe’ Hidangan Istimewa Bajau Laut Terkenal Di Semporna

234
Seorang wanita sedang membelah `tehe-tehe’, sejenis hidupan laut ketika kami tiba di rumah Pakcik Mahamud bin Urugan di Pulau Selakan. – Gambar dari internet

SEMPORNA: Daerah Semporna memang terkenal dengan pelbagai jenis makanan tradisional masyarakat Bajau di pantai timur Sabah dan antara hidangan istimewa ialah nasi ‘tehe-tehe’.

Nasi tehe-tehe atau nasi landak laut merupakan hidangan berkhasiat dan menjadi kegemaran dalam kalangan Bajau dan kini semakin mendapat sambutan daripada pelancong dan masyarakat lain.

Landak laut yang dikenali sebagai ‘tehe-tehe’ dalam kalangan masyarakat pribumi Bajau hidup di persekitaran batu karang dan ia merupakan cengkerang yang keras dan berbentuk bulat.

Cara penyediaan hidangan itu amat mudah di mana anda perlu mencuci tehe-tehe tersebut, masukkan beras ke dalamnya dan rebus. Selepas nasi sudah masak, potong tehe-tehe tersebut dan boleh dihidangkan.

Ini lah yang dipanggil Nasi Himpit ‘Tehe-Tehe’. Rasanya ada hampir-hampir macam telur ikan tapi memang sedap.

Romzi Bilgari, 35, seorang penjual tehe-tehe berkata ia boleh dimakan secara mentah selepas dibersihkan, atau dimasak dan dimakan bersama putu, iaitu ubi kayu yang diperah airnya dan kemudian dikukus, ataupun dimasak dengan nasi.

“Cengkerang tehe-tehe yang keras dan berbentuk bulat itu dijadikan sebagai periuk kecil untuk menanak nasi,” katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Beliau berkata tehe-tehe, yang merupakan antara makanan asas masyarakat Bajau Laut, perlu direbus dahulu supaya durinya lembut bagi memudahkan ia ditanggalkan.

“Selepas itu barulah organ dalaman tehe-tehe itu dibuang dan bahagian dalam cengkerang itu dibasuh bersih dan ditoskan untuk memastikan segala kotoran tertanggal, dan beras yang dimasak di dalam cengkerang itu tidak berbau hanyir,” katanya.

Beliau berkata isterinya, yang mahir membuat menu istimewa itu, mengadun beras bersama garam, halia dan sedikit gula, yang digaul hingga sebati sebelum dimasukkan ke dalam tehe-tehe.

“Untuk tambah keenakan nasi tehe-tehe, makanan laut seperti sotong atau udang dipotong halus dan dimasukkan bersama beras,” katanya.

Romzi berkata cengkerang itu kemudian akan ditutup dengan daun kelapa secara bersilang supaya beras tidak terkeluar apabila direbus selama setengah jam.

“Nasi tehe-tehe merupakan hidangan istimewa untuk jamuan keluarga dan juga tetamu yang berkunjung ke rumah, “katanya.

Romzi berkata kawasan batu karang di perairan cetek di Semporna tempat terbaik untuk pembiakan tehe-tehe termasuk di Pulau Mabul.

Tehe-tehe dijual dengan harga RM15 untuk 10 biji dan harga itu meningkat mengikut saiznya, katanya.

Beliau berkata selain orang tempatan yang membeli tehe-tehe itu, pelancong luar negara juga berminat untuk mencuba memakan tehe-tehe terutama nasi tehe-tehe yang dijual di pasar.