Mungkin Sapi-Sapi Lebih Bernilai Dari Undi Penduduk Mukim Transpagalan!

1570

Oleh FADILAH MICHAEL
KOMENTAR: Hampir 7,000 orang penduduk Transpagalan semakin terkesan dengan permasalahan air bersih yang tidak pernah selesai. Ketika hujan, bekalan air memang tidak menjadi masalah kecuali ketika saluran paip air tersumbat. Namun apabila kemarau atau tiada hujan dalam tempoh 5 – 7 hari sahaja, pasti bekalan air menjadi masalah utama.

Sungai Ambual sudah tercemar.

Tinjauan DAP Pensiangan ke mukim tersebut yang juga dikenali sebagai Zon Seberang turut menemubual beberapa orang penduduk dari kampung-kampung yang berlainan disepanjang laluan mukim tersebut. Kesemua mereka mengadu tentang masalah air selain beberapa lagi masalah lain.

“Saya masih ingat ketika sambutan Perayaan Pesta Menuai di Tapak Tamu Arked sejurus selepas pilihanraya ke12 tahun 2009, Tan Sri Joseph Kurup mengumumkan dalam ucapan beliau hari itu bahawa beliau akan memastikan Mukim Transpagalan akan menerima bekalan air bersih pada tahun itu juga. Tapi sehingga kehari ini, janji itu tidak ditunaikan,” beritahu salah seorang penduduk dari Kg. Magatang.

“Sehingga kini kampung kami tidak pernah mendapat bantuan dari PBRS. Kami sendiri mengurus dan mencari dana untuk memastikan bekalan air dapat disalurkan ke rumah masing- asing,” tambah beliau lagi.

“Saluran paip graviti yang ada sekarang dibina semasa pentadbiran PBS lagi. Sehingga kini memang kampung kami tidak pernah menerima bantuan daripada kerajaan. Air kini semakin kecil. Kami terpaksa menunggu giliran ketika ingin menggunakan air. Malahan permohonan bantuan untuk paip graviti kami tidak diendahkan. Jawapan yang kami terima ‘tunggu selesai pilihanraya’,” cerita pemilik kantin di Kampung Panoi dengan nada kecewa.

“Saya yakin janji-janji Kurup ini hanya janji air liur. Sudah lebih 6 kali projek graviti yang diuruskan oleh kerajaan tergendala begitu saja. Sehingga kini kami sendiri yang menguruskan bekalan air bersih kami sendiri. Di kampung kami ini, sungai sudah tercemar oleh sisa buangan dari kilang yang beroperasi berhampiran kawasan tadahan air kami.

Penduduk Kg Ambual dan pemimpin DAP Pensiangan baru-baru ini.

“Lihat sendirilah. Berapa keruh air sungai kami biarpun selepas hujan! Tapi kami tiada pilihan. Jelas Kurup mengabaikan kebajikan penduduk di Mukim ini,” adalah komen salah seorang dari penduduk Kg Ambual.

Team DAP Pensiangan telah membuat tinjauan dan melihat sendiri keadaan sungai Ambual yang jelas kelihatan keruh dan sedikit berminyak. Ketika wakil DAP mendapatkan kepastian tentang status air sungai Kg. Ambual, pegawai Jabatan Paip dan Saliran Daerah Keningau yang ditemui mengakui air Sg. Ambual sudah tercemar oleh sisa buangan kimia dan tidak selamat untuk digunakan.

Malahan pegawai itu sendiri telah memberitahukan perkara tersebut kepada Kurup sendiri ketika dia datang ke jabatan tersebut.

Mukim Transpagalan meliputi hampir 17 buah kampung dan mempunyai bilangan penduduk sekitar 7,000 orang. Jaraknya daripada Pekan Keningau melalui jalan utama lebih kurang 10 kilometer sahaja. Bermula daripada Kg. Ferry sehingga ke Kampung Kepayan Baru.

Yang menjadi kemusykilan buat kami dan penduduk Transpagalan sendiri, bagaimana taman Perumahan yang berhampairan (Taman Bersatu) dan Ladang ternakan sapi yang terletak di Kg. Bomboi boleh mendapat bekalan air bersih? Jika kerajaan mempunyai rancangan penyelesaian air secara berperingkat sekalipun, tidak mungkin mengambil masa berpenggal-penggal lamanya sedangkan sehingga kini tiada tanda-tanda sebarang usaha dilakukan.

“Selepas beberapa lama setelah pengumuman Kurup di majlis tersebut, kami merasa gembira bila melihat ada beberapa batang paip yang dihantar dan diletakkan disepanjang jalan mukim kami. Tetapi longgokkan paip itu sampai hanya di kawasan perumahan tersebut. Rupanya paip-paip tersebut adalah saluran paip air untuk kegunaan penduduk di perumahan Taman Bersatu. Bayangkan bagaimana perasaan kami? Apalagi bila mengetahui sapi di ladang ternakan di atas Bukit Kg Bomboi minum air paip.”

Mungkin sapi-sapi ini lebih bernilai dari undi penduduk Mukim Transpagalan!

  • Fadilah Michael adalah setiausaha publisiti DAP Pensiangan. Ini adalah pandangan peribadi penulis