Misi SAR Bot Katamaran Karam: Tiada Petunjuk Baharu – APMM

79

KOTA KINABALU – Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) lima lagi mangsa tragedi bot pelancong karam yang masih hilang di perairan Sabah belum menemukan sebarang petunjuk baharu dalam operasi yang masuk hari ke-17 hari Isnin.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sabah dan Labuan Laksamana Pertama Maritim

First Admiral Mohd Zubil

Mohd Zubil Mat Som berkata operasi SAR diteruskan meliputi keluasan sektor pencarian 300 batu nautika persegi.

Katanya operasi pencarian yang masih meliputi kawasan perairan Sabah; Miri, Sarawak; dan Brunei itu membabitkan sembilan aset masing-masing tiga milik APMM, tiga milik Pasukan Polis Marin (PPM), dua milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan satu milik agensi keselamatan Brunei.

“Setakat pagi ini (Isnin), tiada sebarang petunjuk baharu dilaporkan, namun, operasi SAR akan diteruskan sehingga mendapat arahan seterusnya daripada pihak atasan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Zubil berkata keadaan di sektor pencarian pada pagi ini adalah baik dengan cuaca cerah dan berharap ini akan dapat membantu pasukan SAR dalam operasi tersebut.

Dalam tragedi 28 Jan lepas, bot pelancong jenis katamaran membawa 28 pelancong warga China dan tiga anak kapal, karam dipercayai akibat angin kencang dan ombak besar semasa dalam perjalanan ke Pulau Mengalum.

Setakat ini 26 mangsa telah dijumpai termasuk empat yang maut.