Mannan: Cadangan Pembinaan Jambatan Sukau Tidak Akan Diteruskan

216
Sungai Kinabatangan

SANDAKAN: Kerajaan negeri memutuskan bahawa pembinaan jambatan yang dicadangkan merentasi Sungai Kinabatangan di Sukau tidak akan diteruskan.

Keputusan ini diumumkan oleh Sam Mannan, Ketua Konservator Perhutanan Sabah, semasa berucap pada majlis makan malam Perkongsian Penyelidikan Hutan Tropika Asia Tenggara (SEARRP) yang diadakan di Royal Society di London, Rabu malam.

Sam Mannan

“Ketika membuat keputusan itu, Ketua Menteri Sabah (Musa Aman) telah mengambil kira kebimbangan dan pandangan yang dilahirkan berkaitan jambatan itu termasuk kalangan dari Yayasan Sime Darby, Nestle, saintis dan kumpulan NGO serta pandangan mereka yang lebih mengetahui mengenai wilayah itu daripada orang lain – Sir David Attenborough,” kata Sam dalam satu kenyataan lewat Khamis.

Pada awal Mac, akhbar The Guardin di UK menyiarkan satu artikel bertajuk Kebimbangan Sir David Attenborough mengenai cadangan pembinaan jambatan yang merangkumi 350 meter merentasi Sungai Kinabatangan kerana mengancam satu daripada santuari terakhir iaitu gajah pigmi Borneo.

“Ia membuatkan kita memahami bahawa isu pembinaan jambatan yang dicadangkan merentasi kawasan yang dilindungi bagi hidupan liar, sekarang menjadi kebimbangan utama bagi alam sekitar bukan sahaja di Sabah tetapi juga di seluruh dunia kerana situasi hidupan liar yang banyak terdapat di kawasan itu.

Sam berkata Ketua Menteri telah mengambil kira pandangan semua pihak termasuk pandangan Sir David sebelum membuat keputusan mengenai isu penting ini.