Maktab Mara Teknikal Akan Dibina Di Ranau – Ketua Pengarah Mara

1295

TAWAU: Sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Teknikal akan dibina di Ranau dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun lagi, kata Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Ibrahim Ahmad.

Ibrahim Ahmad

Beliau berkata, pembinaan MRSM menerusi pakatan strategik MARA bersama Petronas itu bertepatan dalam menyediakan akses pendidikan berkualiti kepada anak-anak di negeri ini.

“Tapak untuk membina MRSM baharu ini sudah dikenal pasti dan kini hanya menunggu pelaksanaannya sahaja,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan MRSM Tun Mustapha di sini, hari Sabtu.

Menurutnya, pembinaan MRSM itu dibiayai sepenuhnya oleh Petronas manakala MARA bertindak menyediakan kepakaran guru termasuk bidang pengurusan.

Dalam pada itu, Ibrahim berkata, MRSM Semporna yang siap dibina di Kampung Tagasan akan mula beroperasi selewatnya awal tahun hadapan.

MRSM Semporna yang boleh menempatkan sehingga 200 pelajar itu merupakan MRSM Ulul Albab yang memberi fokus kepada pengajian Islam selain mata pelajaran lain.

Setakat ini, katanya, terdapat tiga MRSM yang beroperasi di Sabah iaitu Tawau, Sandakan dan Kinarut.

Sementara itu, Ibrahim dalam ucapannya berkata, pihaknya tidak pernah mengurangkan tajaan pelajar untuk ke luar negara.

“Tetapi pelajar yang pergi sendiri ke luar negara atas tanggungan keluarga sendiri dan kemudian memohon tajaan itu kita tidak bagi lagi, kerana kita mengutamakan pelajar MRSM yang berada dalam sistem,” katanya lagi.

Menurutnya, setiap tahun MRSM mengeluarkan 7,000 pelajar dengan 80 peratus daripada jumlah itu merupakan pelajar terbaik.