Lelaki Ditahan Depan Restoran Era Bantu Siasatan Kes Samun Bersenjata

248
Seorang lelaki diberkas Khamis malam di kerana disyaki terlibat kes menyamun di Taman New Asia pada Isnin malam. – Gambar ihsan Unit Media IPD Tawau

Oleh BORNEOTODAY
TAWAU: Seorang lelaki tempatan ditahan, malam tadi, dipercayai terbabit dalam satu kes samun di kawasan tepi jalan Taman New Asia, Tawau Isnin lalu.

Suspek berusia 36 tahun itu ditahan dalam satu serbuan di hadapan Restoran Era, Bandar Sri Indah, Batu 10 Jalan Apas pada jam 10.40 malam oleh sepasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah (D9), Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau.

Asisten Komisioner Fadil Haji Marsus, Ketua Polis Daerah Tawau, berkata, pengadu seorang lelaki telah didatangi suspek yang tidak dikenali berhenti di hadapan dan mengacukan sebilah pisau kearahnya serta meminta menyerahkan beg dan dua buah telefon bimbit berjenama milik pengadu tersebut dan terus melarikan diri.

Menurutnya, ketika tangkpan dan pemeriksaan dijalankan terhadap suspek, suspek cuba bertindak meloloskan diri serta berlaku pergelutan di antara polis dan suspek. Pihak Polis terpaksa menggunakan kekerasan minima bagi menjayakan tangkapan tersebut.

Polis juga merampas sebuah telefon bimbit jenama Nokia yang dipercayai milik suspek. Pemeriksaan mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau dibawah seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Suspek dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan menggunakan senjata.

Polis juga sedang memburu rakan sejenayah suspek yang dipercayai masih berada di daerah ini.