Lelaki Cedera Dalam Kebakaran Dua Rumah Di Sandakan

104
Abdul Hadi menerima pertolongan cemas ‘first aid’ sebelum dikejar ke hospital oleh MERS.

SANDAKAN: Seorang lelaki cedera ketika menyelamatkan diri dalam kebakaran yang memusnahkan dua buah rumah dan sebuah kereta di Kampung Garinono Batu 25 di sini tengah hari tadi (Selasa).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan Mohd Razali Awang Ahmad berkata mangsa dikenali sebagai Abdul Hadi Solo, 19, mengalami kecederaan ringan di bahagian lengan sebelah kanan ketika cuba keluar dari rumahnya.

Mangsa yang cedera kemudiannya dirawat oleh anggota bomba yang bertugas, katanya di sini.

Beliau berkata tiga jentera serta sebuah kenderaan utiliti bomba bersama 21 anggota diketuai beliau bergegas ke lokasi kejadian setelah menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada 12.31 tengah hari.

“Turut musnah terbakar ialah sebuah kereta pacuan empat roda yang diletakkan di bawah salah sebuah rumah terlibat,” katanya.

Menurutnya punca dan anggaran kerugian akibat kebakaran itu masih dalam siasatan.