Kompleks LKIM Labuan Akhirnya Digunakan Walaupun Dikritik Sebelum Ini

2976

Oleh JAILANI HASAN
LABUAN: Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Kiansam yang baru siap dibina dengan kos RM20 juta akhirnya digunakan walaupun sebelum ini dikritik penggiat industri perikanan di sini.

Jeti pendaratan ikan bernilai RM1.3 juta di kompleks itu yang dinaik taraf bagi menggantikan jeti perikanan Labuan yang berusia lebih daripada satu dekad di pinggir laut di pusat bandar ini dibuka kepada penggiat industri dan pengguna sejak November tahun lepas namun ditangguhkan berikutan banyak rayuan (daripada pengusaha bot pukat tunda).

Dzulkiflli Mad Ali

Pengarah LKIM Labuan Dzulkiflli Mad Ali berkata jumlah pendaratan hasil tangkapan di pusat itu meningkat dengan sekurang-kurangnya setiap pendaratan hasil mencatat lebih daripada 5,000 kilogram dengan nilai jualan borong lebih daripada RM35,000.

LKIM merekodkan jumlah pendaratan hasil tangkapan pada 2 Feb adalah 5,971.2kg dengan nilai jualan borong sebanyak RM35,162.28 meningkat sedikit kepada 6,332kg pada 19 Feb (RM26,731.25) dan meningkat kepada 8,597kg pada 26 Feb dengan nilai jualan borong sebanyak RM36,839.

“Pendaratan hasil tangkapan di jeti perikanan Kiansam bertambah baik dengan penggiat industri perikanan terutama pengusaha bot pukat tunda mula menempatkan semula pendaratan hasil mereka di jeti itu,” katanya kepada Bernama Rabu.

Krew kapal pukat tunda memunggah hasil tangkapan mereka di jeti LKIM Labuan.

Beliau berkata walaupun jadual pendaratan hasil tangkapan pada masa ini hanya dilakukan pada setiap hujung minggu, jumlah kapal pukat tunda meningkat secara beransur-ansur.

Hasil tangkapan laut yang dibawa ke jeti ini termasuk ikan merah, kerapu, ikan kembong, ikan putih, ikan pari, jenahak dan pelbagai jenis udang dan sotong.

Beliau berkata jeti perikanan Labuan yang lama akan ditutup akhir bulan ini mengikut tempoh yang diberi oleh pihak berkuasa tempatan, Perbadanan Labuan.

“Kami berharap semua pengusaha bot pukat tunda yang pada masa ini masih beroperasi di jeti lama supaya berpindah ke Kiansam mulai 1 April,” katanya.

Dzulkifli berkata kompleks pendaratan ikan itu dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk pasar nelayan dan pejabat vendor ikan.