KeTTHA Peruntuk Sebahagian RM2.5 Bln Untuk Tambah Baik Elektrik Di Sabah

145
Maximus Ongkili

LABUAN: Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) akan menggunakan sebahagian daripada RM2.6 bilion yang diperuntukkan kepadanya di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 untuk mengurangkan gangguan bekalan elektrik di Sabah.

Menterinya Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili berkata kementeriannya menyasarkan Durasi Gangguan Rata-Rata Sistem (SAIDI) 250 minit setahun bagi setiap pelanggan di Sabah berbanding 311 minit tahun lepas.

“Semasa saya baru menjadi menteri, SAIDI hampir 700 minit sebelum dikurangkan beransur-ansur kepada 311 minit tahun lepas,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program kemasyarakatan dan kempen inovasi hijau di Kampung Kilan, di sini hari Sabtu.

SAIDI merupakan indeks yang mengukur tempoh gangguan yang terjadi dalam selang waktu tertentu pada pelanggan.

Mengulas lanjut, Ongkili berkata peruntukan itu yang disalur terus oleh kerajaan persekutuan akan diguna untuk pelbagai kerja-kerja teknikal serta pemasangan peralatan bagi meningkatkan kecekapan penjanaan tenaga.

Katanya sesetengah kerja telah bermula tahun lepas termasuk membina lebih banyak transformer dan substesen.