KETTHA Belanja RM500 Juta Bagi Program NRW Di Enam Negeri – Dr Max

169
Dr Maximus Ongkili signing the plague to mark the official launching of the RM8.17 million Labuan Water Department building Friday. – Photo credit BERNAMA

LABUAN: Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air akan membelanjakan RM500 juta bagi program Air Tanpa Hasil (NRW) di enam negeri mulai tahun ini.

Program tiga tahun itu adalah untuk menyelesaikan pelbagai isu berhubung NRW termasuk penggantian paip lama dan meter air di Sabah, Sarawak, Pahang, Perlis, Kedah dan Kelantan, kata menteri berkenaan, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

“Kami harap program ini akan dapat mengurangkan masalah NRW yang dihadapi di enam negeri ini, dan penggantian paip lama di Labuan akan turut dimasukkan dalam program NRW ini,” katanya.

Bercakap pada sidang akhbar selepas merasmikan bangunan baharu Jabatan Air Labuan berharga RM8.17 juta di sini hari ini, Maximus berkata beliau turut mengarahkan Jabatan Air Labuan supaya memantau rapi kualiti air di pulau bebas cukai ini.

Arahan itu, katanya, dibuat berikutan banyak aduan yang diterima daripada pengguna berhubung ‘air keruh’ yang diterima menerusi saluran paip.

“Isu air keruh ini akan disiasat dengan menyeluruh, sama ada ia berpunca daripada kebocoran paip, kurangnya penyelenggaraan tangki air di kediaman atau ada sebab lain,” katanya.

Terdahulu, Ongkili berkata jumlah loji rawatan air di Labuan kini berjumlah lima buah berbanding dua buah pada 1984.

“Jumlah pengeluaran meningkat 10 kali ganda daripada 11.8 juta liter sehari (mld) kepada 100 mld sekarang, dan jumlah akaun pengguna pula meningkat kepada kira-kira 18,000 berbanding hanya 6,149 akaun pada 1984,” katanya.

Beliau berkata kementeriannya sedang menjalankan kajian kejuruteraan berkaitan pelaksanaan infrastruktur bekalan air bagi membekalkan air bersih yang mencukupi dan berkualiti tinggi sehingga tahun 2040.