Kerajaan Laksana Program Pembangunan Ekonomi Berteraskan Masyarakat

126

KOTA BELUD: Kerajaan sentiasa berusaha melaksanakan pelbagai program dan inisiatif pembangunan ekonomi berteraskan pembangunan masyarakat, termasuk membangunkan ekonomi digital negara bagi memastikan kesinambungan pembangunan ekonomi yang dikecapi rakyat pada masa ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata sejajar dengan usaha membangunkan ekonomi digital negara, pihak kementerian bersama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) diberi mandat untuk melaksanakan pelbagai program membangunkan ekonomi negara yang mapan.

“Oleh itu saya berharap program yang akan dilaksanakan oleh pihak kementerian bersama MDEC dapat mencipta kekayaan, membangunkan modal insan dan menaik taraf kehidupan rakyat,” katanya ketika melancarkan Program Bootcamp #YOUCANDUIT di sini, hari Sabtu.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia Datuk Mohid Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Datuk Yasmin Mahmood.

Salleh berkata program berkenaan merupakan satu daripada usaha kerajaan untuk mewujudkan kesedaran dan meningkatkan penyertaan golongan sasar terhadap peluang-peluang ekonomi digital yang disediakan oleh kerajaan.

“Kempen #YOUCANDUIT membuka laluan dan melatih isi rumah berpendapatan rendah agar dapat meraih peluang pendapatan melalui alam digital. Untuk itu, MDEC telah memperkenalkan dua program menerusi kempen #YOUCANDUIT iaitu e-Usahawan dan e-Rezeki,” katanya.

Katanya, program e-Usahawan itu bertujuan untuk menggalakkan golongan belia dan para usahawan mikro untuk berkecimpung dalam sektor perniagaan digital dan program tersebut dilaksanakan melalui pendedahan kepada ilmu serta kaedah tentang keusahawanan digital.

“Pendedahan kepada ilmu keusahawanan digital melalui program berkenaan sudah tentu memberi manfaat kepada rakyat Sabah, selain memperluaskan pengetahuan tentang perniagaan digital,”katanya.

Salleh berkata e-Rezeki pula melibatkan kumpulan sasar yang amat penting iaitu golongan B40 iaitu golongan 40 peratus berpendapatan terendah.

“E-Rezeki menyediakan platform bagi golongan berkenaan menjana pendapatan tambahan melalui aktiviti bersesuaian dengan kemahiran isi rumah untuk menjadi sebahagian daripada tenaga kerja digital yang berdaya saing,” katanya.

Mengulas mengenai pencapaian e-Usahawan, Salleh berkata sehingga Dis 2016, seramai 51,000 pelajar Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan usahawan mikro telah mengikuti kursus itu dan hasil jualan keseluruhan terkumpul yang dijana adalah RM48 juta.