Kemalangan Jalanraya Di Tamparuli, Tawau Meragut Nyawa Dua Orang

1553

SEORANG MAUT, ENAM CEDERA RINGAN DALAM KEMALANGAN 4 KENDERAAN

Kemalangan dekat Kampung Koporingan pada Jumaat. – Gambar ihsan BOMBA Tuaran

KOTA KINABALU: Seorang maut manakala enam lagi cedera ringan dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Jalan Tamparuli-Ranau, berhampiran Kampung Koporingan, hari Jumaat.

Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, kejadian yang berlaku kira-kira 8.30 pagi itu melibatkan lori tiga tan, Toyota Hilux, Proton Saga FLX dan Perodua Kancil.

Menurutnya mangsa yang maut merupakan penumpang Proton Saga FLX dan lima daripada enam yang cedera merupakan penumpang dan pemandu kereta sama manakala seorang lagi penumpang Toyota Hilux.

“Mereka yang cedera dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS dan ambulans manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis,” menurut kenyataan itu.

Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Tuaran menerima panggilan mengenai kejadian tersebut pada 8.35 pagi dan tiba di lokasi kira-kira 20 minit kemudian.

WARGA EMAS MAUT, KERETA BERTEMBUNG LORI DI TAWAU

Kemalangan di Jalan Apas, Tawau. – Gambar ihsan BOMBA Tawau

TAWAU: Seorang lelaki warga emas maut apabila kereta yang dinaikinya bertembung dengan lori tiga tan di Batu 24, Jalan Apas dekat sini, Khamis.

Dalam kejadian 3.10 petang itu, Ketua Polis Daerah Tawau ACP Fadil Marsus berkata Abdul Mansor Abu Kasim, 61, meninggal dunia di tempat kejadian manakala anak lelakinya, 27, yang memandu kereta Honda itu cedera parah di kepala.

“Siasatan mendapati lori jenis Hino yang dipandu lelaki tempatan berusia 31 tahun sedang dalam perjalanan dari Kota Kinabalu menuju ke Tawau apabila kereta Honda dari arah bertentangan tiba-tiba memasuki laluan lori.

“Ekoran itu, berlaku rempuhan kerana pemandu lori tidak sempat menekan brek untuk mengelak lalu terlanggar bahagian pintu sebelah kiri kereta Honda sebelum berpusing dan terbabas ke sebelah kiri jalan,” katanya dalam kenyataan.

Pemandu lori dan kelindannya tidak cedera.

Fadil berkata kereta yang dinaiki Abdul Mansor, yang juga pesara ketua kerani di pejabat polis Lahad Datu, rosak teruk.