Kanak-kanak Mangsa Bot Karam Di Tawau Ditemui; Juragan Di Tahan Polis

237
Mayat kanak-kanan berumur 18 bulan ditemui Ahad. – Gambar ihsan PDRM Tawau

TAWAU – Pihak polis berkata satu mayat kanak-kanak dipercayai mangsa tragedi bot karam ketika menuju Sungai Nyamuk, Inondesia pada Selasa lalu ditemukan pagi tadi (Ahad).

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata wakil Konsulat Indonesia memaklumkan mayat kanak-kanak perempuan berusia 18 bulan itu ditemukan kira-kira 11.36 pagi oleh seorang petani Indonesia di perairan Sungai Manurung, Indonesia.

“Mayatnya telah dibawa ke Nunukan oleh pihak berkuasa Indonesia untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata mayat kanak-kanak tersebut turut disahkan ibu bapanya yang kini menjalani rawatan di Hospital Tawau.

Bapanya Budiman Muslimin, 26, dan ibunya Hasmida Masaniaga, 24, selamat dalam kejadian itu.

ACP Fadil sedang ditemu bual oleh media.

“Kedua-dua mangsa mengesahkan menerusi gambar-gambar yang ditunjukkan bahawa mayat itu adalah anak perempuan mereka Nur Ainun,” katanya.

Bot itu yang dinaiki sekumpulan warga Indonesia dilapor karam akibat dipukul ombak ketika menuju Sunyai Nyamuk dan setakat ini 14 daripada 15 mangsa ditemui dengan empat daripada mereka selamat manakala yang lainnya meninggal dunia.

Sementara itu polis hari Ahad menahan seorang lelaki dipercayai juragan bot yang karam dipukul ombak ketika membawa 14 warga Indonesia ke Sungai Nyamuk, Selasa lalu.

ACP Fadil berkata lelaki itu yang dikenali sebagai Juma, 23, ditahan kira-kira 10.30 pagi tadi di balai ketibaan Lapangan Terbang Tawau.

“Selepas insiden bot karam itu suspek dipercayai ke Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan di sini, Ahad.

Menurutnya penangkapan suspek itu dapat membantu siasatan polis berhubung tragedi tersebut.

Polis sebelum ini dilapor mengesan juragan bot yang dipercayai terselamat dalam tragedi itu.

Lelaki tersebut diselamatkan dua lelaki yang memancing di tengah laut bersama seorang lagi penumpang warga Indonesia.

Setakat ini, 13 daripada 15 mangsa tragedi bot karam itu ditemui.

Daripada jumlah itu, empat terselamat manakala bakinya meninggal dunia.