Isu Pekerja SFI: Kenapa Kerajaan Negeri Sabah Diam Seribu Bahasa?

8928

KOMENTAR: Kerajaan Sabah sememangnya mempunyai pegangan saham dalam syarikat Sabah Forest Industries (SFI) walaupun ia hanya sebilangan kecil sahaja.

Namun demikian, kerajaan Sabah masih wajib untuk memberi bantuan kepada pekerja-pekerja SFI yang terjejas baru-baru ini.

Syarikat SFI yang terletak di Sipitang mempunyai tenaga pekerja seramai 1,600 orang yang kebanyakannya orang tempatan.

Sejak bulan Oktober tahun lepas, pekerja-pekerja SFI tidak dibayar gaji penuh disebabkan masalah kewangan yang dihadapi oleh syarikat.

Akibatnya, mereka bertindak dengan berpiket dan perwakilan kesatuan kerja mereka telah berusaha untuk berjumpa dengan pihak pengurusan. Bagaimanapun pihak pengurusan SFI enggan berjumpa dengan mereka.

Selain daripada masalah gaji, difahamkan pihak syarikat juga sudah tidak membayar caruman KWSP perkerja sejak bulan November lagi.

SFI mula beroperasi pada tahun 80’an di bawah kerajaan Berjaya dan diuruskan oleh orang tempatan.

Pada tahun 2007 SFI dijadikan anak syarikat Ballapur Industries Limited yang merupakan sebahagian daripada Avantha Group of Companies dari India.

Kerajaan Sabah masih wajib untuk memberi bantuan kepada pekerja-pekerja SFI yang terjejas.

SFI mempunyai 288,000 hektar kawasan kayu balak yang diurus oleh mereka dan syarikat ini juga satu-satunya pengeluar pulpa dan kertas di Malaysia.

Masalah kewangan SFI terdiri daripada tindakan undang-undang dalam bentuk saman yang dikemukakan oleh Shell Timur Sdn Bhd untuk mendapat balik hutang belum lunas berjumlah kira-kira RM13 juta, yang mungkin akan menyebabkan syarikat itu muflis. Selain itu, ada juga tindakan undang-undang dari pihak-pihak lain.

Walaupun masalah ini memang diketahui umum, tetapi setakat ini kerajaan negeri masih tidak mengambil sebarang tindakan, hanya kerana ia memegang saham 2% dalam syarikat ini.

Ahli-ahli politik penyokong kerajaan di daerah Sipitang pun setakat ini berdiam seribu bahasa. Hanya pihak pembangkang sahaja yang tampil untuk memberi semangat dan menunjukkan perpaduan bersama pekerja-pekerja yang terjejas.

Sebaik-baiknya, perlu ada satu mesyuarat dengan semua pihak supaya masalah ini diatasi dengan secepat mungkin. Semangat pekerja sudah jatuh ke tahap paling rendah sekarang dan jika masalah ini dibiarkan berlarutan akan timbul kesan-kesan lain yang serius.

Ketua-ketua Kesatuan pernah berjumpa dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Sukarti Wakiman, dua dari kiri, mengenai masalah SFI.

Sekiranya ada pembeli berminat untuk memperolehi SFI, kerajaan masih perlu memainkan peranan mereka untuk mempercepatkan urusan penjualan dengan membantu dan berunding dengan pihak bank serta pemberi kredit dan pihak lain untuk menyelesaikan sebarang masalah berkaitan agar dapat diterima baik oleh semua pihak.

Sungguhpun hanya pemegang saham yang kecil, tetapi dengan kuasa yang ada pada kerajaan negeri, ia perlu diguna dengan berkesan. Kalau masalah ini berterusan, ia tidak akan memberi apa-apa kebaikan kepada sesiapa pun.

Pekerja-pekerja yang terjejas mempunyai tanggungan. Mereka ada keluarga dan pinjaman serta bil-bil yang perlu dibayar.

Kita harap kerajaan akan mengambil berat dalam perkara ini untuk kebaikan semua pihak.

Laporan terkini – di Kota Kinabalu, Hakim Makhamah Tinggi, Datuk Douglas Primus Sikayun telah membuat keputusan bahawa apa-apa tindakan makhamah terhadap SFI hendaklah dihentikan buat sementara selama dua bulan untuk memberi tempoh mencari jalan penyelesaian yang terbaik dan dipersetujui oleh semua pihak.