Hapuskan Politik Perkauman; Bukankah Suluk Suku Kaum Sabah?

35324

KOMENTAR: Baik kita berhenti dan berfikir sejenak.

Sabah dikatakan satu model 1Malaysia terunggul dan patut dicontohi. Rakyat Sabah bangga kerana kita boleh berinteraksi dengan sesiapa pun tidak kira apa agama dan keturunan bangsa.

Tetapi apakah ini benar?

Bahang pilihan raya semakin terasa maka bermulalah tikam-menikam dan pelbagai permainan politik.

Parti Warisan salah satu penerima akibat dari amalan ini. Ia dituduh sebagai parti orang Suluk walaupun pada hakikatnya ia adalah parti Sabah yang mewakili berbilang kaum dan diterajui oleh anak-anak muda yang berpegang kepada konsep “multi-culturalism” atau kepelbagaian budaya.

Tapi ada yang mengatakan begitulah politik.

Darell Leiking

Di media sosial sekarang terdapat satu video sepanjang lima minit, di mana Timbalan Presiden Parti Warisan, Darell Leiking di sebuah ceramah berkata orang-orang Kadazandusun terutama dari daerah Penampang bersikap “racist”, tebal dengan sikap perkauman dan juga seolah-olah mereka ini anti-Bajau dan anti-Suluk hanya kerana Parti Warisan diketuai oleh Shafie Apdal, seorang yang berketurunan Bajau-Suluk dari Semporna.

Di dalam video itu juga kita melihat Darell meminta maaf secara terbuka kapada Shafie bagi pihak kaum KDM terutama dari Penampang dan beliau berkata sentimen tersebut adalah mainan politik perbuatan parti UPKO.

Donald Mojuntin sebagai ketua UPKO di Penampang tidak bersetuju dan telah membidas Darell sambil berkata Darell sudah “melampaui batas” kerana menuduh orang Penampang dan UPKO sebagai “racist”. Laporan polis mungkin akan dibuat, ujar Donald.

Apakah perlu permainan politik kita jatuh ke tahap ini? Kita cepat mengecam politik perkauman yang berlaku di Malaya. Nampaknya dalam hal ini, di mana Parti Warisan dilabelkan parti Suluk, tidak ada banyak perbezaan, seperti kata orang kita menyunting arang di muka sendiri.

Di Sabah kita sedia maklum ada lebih daripada 30 suku kaum, yang berlainan anutan agama. Sebab sikap toleransi kita yang begitu tinggi, tidak ada masalah besar untuk kita hidup bersama di Sabah. Kita berkahwin campur di antara satu bangsa dengan suku kaum yang lain dan ini sudah berlaku selama beberapa generasi. Ramai keluarga mempunyai ahli yang berlainan agama tinggal bersama di bawah satu bumbung.

Jadi, apa masalahnya jika Shafie berketurunan Suluk? Bukankah dia anak watan Sabah? Hanya semata-mata kerana politik, apakah kita perlu mencaci dan memomokkan keturunan orang lain?

Kaum Suluk adalah salah satu anak negeri atau kaum Bumiputera di Sabah. Tuan Yang Terutama Yang Di-pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin, kiri, pun dari suku kaum yang sama.

Kita pun maklum di Sabah ini, suku kaum Dusun seperti Sungai dan juga Idahan di Lahad Datu banyak berkahwin campur dengan orang-orang Suluk. Orang Penampang pun tidak terkecuali, ada beberapa orang kenamaan mereka yang berdarah Suluk. Kalau dulu tidak bermasalah pun, apa masalahnya sekarang?

Kaum Suluk adalah salah satu anak negeri atau kaum Bumiputera di Sabah. Dahulu, bekas Ketua Menteri Sabah, Allahyarham Tun Mustapha berketurunan Suluk dan sekarang, Tuan Yang Terutama Yang Di-pertua Negeri Sabah pun dari suku kaum yang sama. Orang Suluk bukan baharu wujud di Sabah. Mereka sudah berkurun-kurun di sini, malah sebelum kedatangan penjajah British. Mereka sebahagian daripada “ekosistem” Negeri Di Bawah Bayu ini.

Orang-orang di Pantai Barat patut menerima hakikat ini dan tidak mempolitikkan kehadiran mereka di Sabah sebab mereka sudah diterima sebagai orang Asal di sini oleh penjajah British lagi.

Di sebalik kesibukan harian, kita perlu berhenti sekejap, bertafakur dan memberi perhargaan kepada rakyat tempatan kita tidak kira apa keturunan, yang telah banyak berjasa kepada kita semua.

Politik sepatutnya dilihat dari segi dasar-dasar, ide-ide dan wawasan yang dikemukakan oleh sesebuah parti. Kita tidak perlu meghina atau memomokkan sesiapa pun hanya kerana faktor keturunan mereka. Apa lagi kalau mereka adalah anak negeri atau Bumiputera yang matlamat mereka semata-mata untuk cuba memperbaiki keadaaan politik semasa yang pada pendapat mereka, sudah jauh teruk parahnya.

Kalau mereka diberi sokongan dan berjaya kelak, masa hadapan pasti baik untuk semua di Sabah, sebab kita tidak ada pilihan lain kalau bukan untuk mendokong politik yang menggalakan konsep kepelbagaian budaya dan amalan politik baru.

Faedahnya lebih besar daripada berbicara tentang hal karut-marut dan menghina keturunan orang tertentu. Tabiat ini bukan sahaja membuang masa tetapi tidak memberi faedah kepada sesiapa pun dan tidak menyumbang kepada kemajuan negeri Sabah.

  • Ini adalah pendapat peribadi penulis