Gumantong, Gua Terbesar Ternak Burung Layang-Layang Semula Jadi Di Sabah

107
Penuaian sarang burung walit di Gua Gomantong. – Gambar ihsan Amusing Planet

Oleh HASLIN GAFFOR
BELURAN: Gua Gumantong di Kinabatangan merupakan gua terbesar untuk penternakan burung layang-layang secara semula jadi untuk menghasilkan sarang burung di negeri ini.

Pegawai Jabatan Hidupan Liar Sandakan Hussein Muin berkata di negeri ini terdapat 27 sistem gua untuk penternakan burung layang-layang secara semula jadi dengan dua lagi gua terbesar adalah Gua Madai di Kunak dan gua Batu Timbang di Kuamut.

Katanya sarang burung diperoleh dari gua Gomantong dan gua Batu Timbang adalah sarang burung jenis putih dan hitam, manakala gua Madai (sarang burung jenis hitam).

Sarang burung walit yang boleh dimakan.

“Industri ini wujud disebabkan permintaan sarang burung yang semakin meningkat dan pasaran tinggi. Di Sabah industri ini hanya bermula pada lewat tahun 90-an yang dipelopori oleh negara jiran seperti Indonesia dan Thailand,” katanya.

Ketika menyampaikan taklimat kepada 21 Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Dewan Undangan Negeri Labuk di sini, semalam (Isnin), Hussein berkata burung layang-layang yang menghasilkan sarang burung yang boleh dimakan adalah jenis ‘swiftlet’.

Burung Walit di Gua Gumantong. – Gambar internet Marcel Holyoak/Flickr

Menurutnya terdapat 34 spesies burung layang-layang di seluruh dunia dan di Sabah terdapat enam spesies, bagaimanapun hanya dua spesies daripada Famili Apodidae iaitu Aerodramus fuciphagus (sarang putih) dan Aerodramus maximus (sarang hitam) menghasilkan sarang burung yang boleh dimakan.

Hussein berkata dalam kitaran kehidupan, burung layang-layang terutama pada masa pembiakan, burung ini akan membuat sarang daripada air liur yang berbentuk separuh piring dengan ukuran lebih kurang lima sentimeter.

Beliau berkata bahagian penguatkuasaan Jabatan Hidupan Liar akan memastikan perkembangan penternakan burung layang-layang di negeri ini terkawal dan mematuhi perundangan serta peraturan semua agensi kerajaan yang berkaitan.

Sarang burung walit. – Gambar internet Marcel Holyoak/Flickr

Katanya ini untuk memastikan aktiviti penternakan burung layang-layang ini tidak menjejaskan populasi burung layang-layang.

Selain itu untuk memastikan kesihatan orang awam dan masyarakat berhampiran dengan bangunan penternakan burung layang-layang terpelihara dan bebas daripada ancaman penyakit, katanya.

Beliau berkata spesies burung layang-layang yang menghasilkan sarang burung yang boleh dimakan adalah spesies yang dilindungi di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 tertakluk kepada peraturan yang terdapat di bawah Peraturan-peraturan Hidupan Liar 1998.

Menurutnya mereka yang mengusahakan penternakan burung layang-layang dalam bangunan perlu mendapatkan permit daripada Jabatan Hidupan Liar dan agensi lain yang berkaitan. – Laporan Bernama

Gua Gumantong. – Gambar ihsan Tropical gateway tours