Faktor Boleh Menang Aspek Penting Pembahagian Kerusi DUN Baharu – Tangau

260

KOTA KINABALU: Faktor boleh menang adalah aspek penting dalam pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu di negeri ini, kata Pemangku Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) Datuk Madius Tangau.

Ketika diminta mengulas mengenai pembahagian kerusi DUN baharu itu, Tangau yang juga anggota Parlimen Tuaran berkata tidak ada guna parti menuntut satu-satu kawasan baharu jika tidak mempunyai harapan memenangi kerusi berkenaan.

Madius Tangau

“Saya tidak nampak ada masalah (pembahagian kerusi DUN baharu) sebab yang penting pada akhirnya ialah ‘winnability’ (boleh menang).

“Tidak ada guna kita menuntut satu-satu kawasan tetapi tidak boleh menang… Kita ada prinsip tertentu dan prinsip ini disampaikan kepada pucuk pimpinan untuk pertimbangan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Mengenai Sains Marin dan Akuakultur hari Selasa.

Persidangan dua hari bertemakan ‘Sempadan Baharu Dalam Pembangunan Mampan Sumber Biologi Marin’ itu dianjurkan bersama Institut Penyelidikan Marin Borneo dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) sebagai platform membincangkan isu-isu kritikal berkaitan bidang marin dan akuakultur.

Lebih 100 peserta termasuk dari Jepun, Korea Selatan, Thailand dan Filipina menghadiri persidangan itu. Turut hadir Naib Canselor UMS Datuk Dr Mohd Harun Abdullah dan Pengarah Institut Penyelidikan Marin Borneo UMS Prof Dr Rossita Shapawi.

Mengulas lanjut, Tangau berkata, pembahagian kerusi-kerusi DUN baharu itu akan diselesaikan menerusi perundingan bersama dengan pemimpin-pemimpin parti komponen Barisan Nasional di Sabah yang lain.

Bagaimanapun, menurutnya, parti itu tidak menjadikan pembahagian kerusi DUN baharu sebagai isu kerana Upko telah diberi tanggungjawab untuk mengisi kerusi yang diperuntukkan pada pilihan raya sebelumnya.

Mengenai persediaan pilihan raya negeri, Tangau berkata, Upko sentiasa bersedia menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa dan persediaan itu termasuk layanan kepada rakyat yang dianggap sebagai persediaan terbaik.

Ditanya sama ada Upko sudah menentukan semua calon yang akan bertanding pada pilihan raya akan datang, Tangau berkata, ia bukan masalah bagi parti memandangkan Upko hanya mempunyai empat kerusi Parlimen dan empat kerusi DUN.