ESSCom Selamat Kapal Dagang Vietnam Dari Jadi Mangsa Rompak, Culik

216
Wan Abdul Bari

SANDAKAN: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) menyelamatkan sebuah kapal dagang dari Vietnam daripada menjadi mangsa rompak atau culik kumpulan penjenayah di perairan Filipina.

Komander ESSCom, Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata pada Ahad lepas kira-kira jam 4 petang, pihak ESSCom telah mengesan isyarat kecemasan melalui perhubungan radio di saluran 16 daripada kapal dagang MV PHU AN 268.

Beliau berkata kapten kapal tersebut memaklumkan bahawa semasa dalam pelayaran berhampiran perairan Pulau Boan, Filipina, mereka telah mengesan sebuah bot laju yang kelihatan di atasnya enam orang bergerak mengekori mereka dalam keadaan mencurigai dan cuba memintas kapal tersebut.

Menyedari kapal itu terus diekori, kapten kapal telah menambah kelajuan serta menukar haluan menuju perairan Malaysia, katanya dalam satu kenyataan hari Selasa.

Wan Abdul Bari berkata bertindak atas maklumat tersebut pihak ESSCom telah mengatur gerak bot Viper 08 dan kapal KD Sri Tiga ke perairan sempadan untuk mengesan dan seterusnya mengiringi MV PHU AN 268 ke Pelabuhan Sandakan dengan selamat.

Beliau berkata tindakan pantas kapten kapal dagang itu menggunakan saluran 16 untuk meminta bantuan telah memudahkan pihak ESSCom mengatur gerak aset di laut bagi menggagalkan cubaan rompakan atau penculikan itu.

Justeru, katanya pihaknya menggalakkan supaya semua pelaut terutama sekali nelayan tempatan agar memasang radio saluran 16 dan Sistem Pengenalan Automatik di dalam kapal mereka supaya mudah meminta bantuan atau melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan kepada ESSCom.