DUML Lahirkan Rasa Kecewa Terhadap Gangguan Rangkaian Telefon Mudah Alih

902

LABUAN: Dewan Usahawan Melayu Labuan (DUML) melahirkan rasa kecewa terhadap syarikat telekomunikasi mudah alih (telco) kerana gagal mengekalkan perkhidmatan tanpa gangguan kepada para pelanggan di pulau bebas cukai ini.

Dewan itu mendakwa, gangguan talian yang berlaku sejak akhir tahun lepas telah memberikan satu ‘pengalaman buruk’ kepada pengguna.

Mohd Alias Rahman

Presiden DUML Datuk Seri Mohd Alias Abd Rahman, berkata para pelanggan khususnya komuniti perniagaan telah melahirkan rasa tidak puas hati mereka dalam media sosial seperti Whatsapp dan Facebook.

“Memandangkan pelanggan seperti kami perlu berhadapan dengan pengalaman yang agak buruk disebabkan kualiti komunikasi yang tidak baik, pembekal telekomunikasi perlu membaik pulih perkhidmatan bagi memastikan aktiviti perniagaan tidak terganggu,” katanya dalam satu kenyataan.

Telco perlu memakai jaminan perkhidmatan pelanggan (CSG) dalam perkhidmatannya sebagai gerenti bahawa ia boleh menyediakan servis yang boleh dipercayai.

“CSG yang diguna pakai di negara-negara luar adalah sebagai jaminan kepada pelanggan dalam situasi berlakunya gangguan telekomunikasi. Jika ia gagal untuk membaiki perkhidmatan tepat pada masa, pelanggan boleh membuat tuntutan kadar harian yang akan dikira dengan sewajarnya,” katanya.

Menurut Alias, dalam kes gangguan di Labuan, secara logiknya, telco harus memberi rebat kepada pengguna yang terjejas.

Apabila dihubungi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berkata, ia telah mengeluarkan pemberitahuan mengenai gangguan itu yang akan berlaku sehingga Jun tahun ini berikutan langkah peningkatan dari 3G kepada 4G di seluruh negara.

“Kami sedar dan bimbang jika telco dalam negara ini terbeban akibat lonjakan bilangan pelanggan,” kata Alias.

“Operasi pelabuhan, yang merupakan salah satu kumpulan pelanggan yang bergantung harap kepada panggilan telefon, adalah antara yang paling teruk terjejas…data perlu dipindahkan setiap saat dan sentiasa berterusan…jika gangguan sentiasa berlaku, komunikasi akan bermasalah dan maklumat mengenai pergerakan kontena juga akan menjadi tidak tepat.

“Kami berharap langkah untuk menaik taraf infrastruktur oleh telco akan membantu mengurangkan masalah tersebut.

“Pelanggan mengalami kekerapan gangguan, kesesakan dan perkhidmatan suara yang lemah. Apabila pelanggan membuat keputusan untuk menggunakan telefon, dia tidak mahu ada gangguan,” katanya.

“Terdapat banyak aduan ke atas telco yang terus mengecewakan pelanggan dengan perkhidmatan yang buruk seperti kehilangan atau kelewatan khidmat pesanan ringkas, keciciran panggilan, isyarat lemah, internet yang lembab, sokongan teknikal yang tiada tindak balas, kesalahan dalam pengebilan, potongan yang tidak dapat dijelaskan pada prabayar dan iklan-iklan yang mengelirukan,” katanya.

Alias berkata, telah wujud kebimbangan ke atas kemerosotan dalam kualiti perkhidmatan industri telekomunikasi, oleh itu, perkara ini perlu ditangani segera.