Dua Cawangan Tionghua Warisan Di Tubuhkan Di Kota Marudu Mencipta Sejarah

3923
Barisan pemimpin Warisan di Kota Marudu pada Ahad.

Oleh FRANCIS AU
KOTA MARUDU: Sejarah politik di daerah ini telah mencatat satu lembaran baharu apabila buat pertama kalinya masyarakat Tionghua di sini mengambil keputusan menyertai Parti Warisan Sabah.

Dalam siri Jelajah Warisan Ahad lepas, bertempat di Kampung Tagaroh, satu lagi cawangan baharu Warisan, iaitu Pekan Lama, telah berjaya ditubuhkan diketuai oleh Johnny Liew dengan keahlian seramai 150 orang.

Borang permohonan keahlian diserahkan kepada presiden parti, Datuk Seri Shafie Apdal.

Sebelum ini, semasa sambutan perayaan Tahun Baharu Cina pada 9 Februari lepas cawangan Pekan Kota Marudu telah berjaya ditubuhkan diketuai oleh Encik Chong Khun Fah bersama 150 ahli yang mana borang berkenaan diterima oleh Naib Presiden, Junz Wong.

Sebelum ini, belum pernah ada mana-mana parti tempatan berjaya meraih sokongan daripada masyarakat Tionghua sehingga berjaya menubuhkan cawangan.

Cawangan Tionghua pertama, Chong Khun Fah bersama 150 ahli, menghantar borang keahlian kepada Naib Presiden, Junz Wong pada 9 Feb. Pada Ahad, cawangan kedua, yang diketuai Johnny Liew, menyerahkan borang permohonan keahlian kepada presiden parti, Shafie Apdal.

Penyertaan kaum ini sekaligus menguatkan lagi sokongan kepada Warisan sebagai sebuah parti perjuangan gabungan rakyat Sabah yang berbilang kaum dan agama.

Walaupun PBS telah bertapak di daerah Kota Marudu sejak tahun 1985 lagi, dari segi politiknya PBS sehingga kini masih gagal meraih sokongan daripada masyarakat Tionghua.

PBS yang baru sahaja menyambut ulangtahun ke-32 minggu lepas setakat ini masih belum mempunyai cawangan daripada masyarakat Tionghua. Selama ini masyarakat Tionghua cenderung menyokong parti nasional seperti DAP dan MCA.

Kejayaan Warisan menubuhkan dua cawangan ini disifatkan sebagai satu kejayaan besar sekaligus membuktikan bahawa Warisan telah diterima oleh semua kaum.

Kira-kira 5,000 penyokong parti dari sekitar Matunggong, Kota Marudu dan Pitas menhadiri Jelajah Warisan di Kampung Tagaroh pada Ahad. Pada acara itu, 7,214 borang permohonan ahli diterima.

Selain kejayaan menubuhkan dua cawangan ini, siri jelajah ini juga telah dihadiri kira-kira 5,000 penyokong parti dari sekitar Matunggong, Kota Marudu dan Pitas.

Sambutan ini sebenarnya adalah di luar jangkaan memandangkan kawasan ini adalah diklasifikasikan sebagai kubu kuat Barisan Nasional yang ditunjangi oleh PBS.

Untuk rekod, pada pilihanraya lepas, Parlimen Kota Marudu telah dimenangi oleh pemangku presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang juga adalah Menteri Kemajuan Teknolohi Hijau dan Air (KeTHA) dengan kelebihan 842 undi.

Justeru, dengan sokongan kuat yang ditunjukkan daripada akar umbi ini, Parti Warisan Sabah amat positif dengan peluang untuk menawan kerusi Parlimen Kota Marudu dan kerusi Dewan Undangan Negeri; Matunggong, Tandek, dan termasuklah kawasan baharu yang bakal diwujudkan, iaitu Bandau.

Soal calon, Shafie dalam ucapannya belum memberikan kata putus sebaliknya memberikan gambaran bahawa calon yang dipilih kelak mestilah calon boleh-menang (winable candidate) dan yang paling penting setia kepada parti.

Katanya juga, UMNO/BN amat terdesak untuk mengekalkan kuasa dan sanggup melakukan apa sahaja untuk menang.

Jelasnya lagi, ini termasuklah sanggup menawarkan RM100 juta habuan kepada wakil rakyat pembangkang.