Dua Bot Nelayan Vietnam Ditahan Di Sandakan Kerana Menceroboh

336
Dua bot nelayan dari Vietnam yang ditahan APMM kerana menceroboh perairan Sabah. – Gambar ihsan APMM

SANDAKAN: Dua bot nelayan Vietnam bersama 29 kru dan tekong ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas dikesan menceroboh perairan negara berhampiran Pulau Billiean dekat sini, semalam.

Pegawai Memerintah Kapal KM Rumbia, Leftenan Komander Maritim, Mohamed Yusoff Mohamed Ali berkata dua tekong serta 27 kru warganegara Vietnam berusia antara 22 hingga 55 tahun itu tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri serta surat kebenaran menangkap ikan dalam perairan negara.

Katanya, kapal peronda APMM, KM Libaran menahan bot nelayan tersebut selepas mengesan kehadiran mereka di kawasan perairan itu pada pukul 12.34 tengah hari.

Menurutnya, ketika cuba diperiksa, kedua-dua bot nelayan itu cuba melarikan diri ke arah perairan Filipina sebelum dikejar selama 50 minit.

“Bot nelayan itu turut melanggar beberapa kali kapal KM Libaran bagi mengelak ditahan,” katanya pada sidang media di sini, hari Isnin.

Mohamed Yusoff berkata bot pertama dengan seorang tekong dan 12 kru berjaya ditahan pada pukul 1.52 tengah hari manakala bot kedua dengan seorang tekong dan 15 kru ditahan 20 minit kemudian,.

Katanya, tekong dan kru dua bot nelayan itu ditahan untuk tindakan lanjut mengikut Akta Perikanan 1985.