Di Pulau Gaya, Penduduk Terpaksa Bayar 20 Meter Padu Air Berharga RM7,000?

2025

KOTA KINABALU: Kejernihan laut dan resort terkemuka yang terletak di Pulau Gaya dengan kira-kira 10 minit menaiki bot dari Kota Kinabalu tidak mampu menutup sisi gelap kepayahan dan penderitaan yang menghantui penduduk di sana sejak beberapa dekad lalu.

Selain timbunan sampah sarap yang tidak terurus, kira-kira 10,000 penghuni Pulau Gaya dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Tanjung Aru dan Parlimen Putatan turut berhadapan dengan masalah kemiskinan dan ketiadaan sistem air terawat.

Akibatnya, mereka terpaksa bergantung kepada ‘peniaga air’ yang mengaut untung besar di atas kesukaran yang dialami.

Jimmy Wong beramah mesra dengan budak budak Pulau Gaya.

Kunjungan DAP yang diketuai Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Jimmy Wong Sze Phin bersama pasukannya ke pulau itu baru-baru ini membongkar kemelut yang dihadapi.

Menurut Jimmy, penduduk di sini tidak ada pilihan lain selain terpaksa membeli air dari pihak tertentu bagi memenuhi keperluan harian mereka.

“Mereka beli air dalam RM7 hingga RM8 untuk satu tong 200 liter.

“Kalau 1,000 liter, mereka kena bayar RM35 hingga RM40. Ini jauh beza dengan harga domestik air di Kota Kinabalu iaitu dalam 60 sen,” jelas Jimmy kepada Roketkini.

Jimmy Wong

Apa yang menimbulkan persoalan kata Jimmy ialah keberadaan sebuah tangki yang penuh berisi air di atas salah sebuah bukit di pulau itu.

“Bila saya pergi ke kawasan tangki air itu, tengok meter, air penuh. Tapi orang kampung di bawah sana, tiada air. Macam mana ini boleh jadi?

“Kalau di Selangor, rakyatnya dapat 20,000 liter air percuma (20m3) bagi setiap rumah, di Pulau Gaya, 20 meter padu sudah hampir RM7,000,” ujar beliau.

Selain isu infrastruktur dan kebersihan, Jimmy juga membangkitkan isu sumber pendapatan penduduk pulau itu yang terganggu akibat penyitaan bot-bot nelayan mereka.

Berdasarkan maklumat penduduk, ratusan bot nelayan mereka telah ‘dirampas’ pihak berkuasa dalam operasi dan sudahpun disita selama setahun menyebabkan punca pendapatan mereka terganggu dan terpaksa bergantung kepada mata pencarian lain.

Bagi yang bekerja di Kota Kinabalu khususnya di pasar, mereka perlu mengeluarkan sebanyak RM5.00 setiap hari bagi tambang bot.

Bagaimana pun kata Jimmy, tidak ada jeti khusus menurunkan pengguna domestik yang berulang alik setiap hari ke Pulau Gaya dari Kota Kinabalu.

“Bila panas atau hujan, orang tua dan kanak-kanak paling kasihan. Jeti tak ada, bumbung tak ada. Jadi ini sangat menyusahkan.

“Mana BN? Rakyat bayar GST tapi kemudahan teruk. Mereka janji air (sistem bekalan air) tapi sampai hari ini yang ada hanya tangki, ada paip, tapi tak ada air,” kesalnya.

Isu melibatkan kemudahan asas penduduk Pulau Gaya ini katanya akan dibangkitkan dalam Dewan Rakyat yang akan berlangsung Mac ini. – Roketkini.com