DAP Pensiangan Lancar Pergerakan Wanita, Bawa Mesej Ubah Di Pedalaman

937
Jannie Lasimbang,dengan ahli-ahli pergerakan wanita DAP di Pensiangan.

MOLOSOK, DALIT (Sook): DAP Pensiangan memantapkan lagi usaha untuk menawan Sook dan Pensiangan pada PRU14 ini dengan melancarkan secara rasmi pergerakan wanita disini. Pergerakan Wanita DAP Pensiangan telah dilancarkan oleh Jannie Lasimbang, Ketua Wanita DAP Sabah bertempat di Kg. Molosok, Dalit.

Wakil wanita seramai lebih daripada 200 orang telah hadir di pelancaran ini yang terdiri dari penduduk Kg. Bonor, Kg. Malaing, Kg. Kalampun, Kg. Mambulu, Pensiangan, Sook, Kg. Lanas, Kg Simbuan dan Kg. Dalit.

Dalam ucapanya, penyelaras DAP Sook merangkap ketua wanita DAP Pendalaman Clare Taunek Simbat menyatakan kepentingan peranan wanita dalam komuniti.

“Sebagai wanita yang biasa menguruskan hal ekonomi rumahtangga, kenaikan harga barang dan GST sangat dirasai dan membuatkan kehidupan pada masa ini semakin sukar”.

“Bayangkan sekiranya kalau keadaan begini di bawah pemerintahan kerajaan kleptokrasi yang penuh dengan rasuah, jangan kita perturunkan rasa susah ini kepada anak-anak,” kata Clare.

“Cukuplah apa yang sudah kita rasai ini, sudah tiba masanya Wanita bangkit dan membawa perubahan. Wanita adalah kunci perubahan di Pensiangan dan DAP memberi wanita keistemewaan hak bersuara.”

Dalam ucapan pelancarannya, Jannie menyatakan dia tertarik dengan perjuangan DAP kerana hanya melalui DAP kita dapat mencipta SABAH BARU, untuk memperbetulkan masalah seperti hak tanah, pendidikan dan banyak lagi yang tidak dapat diselesaikan oleh kerajaan sekarang.

“Kita impikan kerajaan yang bebas rasuah dan bersedia berkhidmat untuk rakyat bukan untuk poket sendiri,” kata Jannie.

“Wanita harus didepan dan jangan lagi berfikir wanita itu lemah dan “tidak boleh”. Wanita pada masa ini harus percaya diri bahawa Wanita mampu membawa perubahan.

“DAP adalah parti yang memikirkan transformasi ekonomi terutama penduduk kampung apalagi melalui wanita bermula dari perkara yang kecil.”

Slogan Wanita Berani UBAH! dilaungkan diakhir pelancaran dan seramai 30 orang wanita ahli DAP yang baru telah menyerahkan borang keahlian mereka kepada Jannie.

DAP Pensiangan sekali lagi mengorak langkah dan mengembangkan sayapnya ke kawasan Mukim Dalit dengan membawa mesej DAP mampu membawa perubahan yang lebih baik daripada pemerintahan kerajaan BN yang ada sekarang.

Buktinya rata-rata penduduk kampung Mukim Dalit masih belum menerima bekalan air bersih dan bekalan elektrik setelah 50 tahun di bawah kerajaan BN.