Dakwaan Pembangkang Karut; Tiada Cawangan Umno Di Putatan Dibubar

165
Yahya: Rakyat di Putatan “terseksa” dibawah kerajaan BN tidak berasas; cawangan Umno ditutup tidak benar.

PUTATAN – Tiada cawangan UMNO di bahagian Putatan dibubarkan dan menyertai parti pembangkang kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin.

Katanya dakwaan parti pembangkang kononnya sebanyak 44 cawangan UMNO dalam bahagian itu telah bubar dan ahli-ahli telah menyertai parti itu adalah tidak benar.

“Tiada satu pun cawangan UMNO yang dibubarkan. Tidak dinafikan terdapat dua orang ketua cawangan telah memilih meninggal UMNO, tetapi cawangan mereka tidak dibuburkan kerana tiada ahli lain yang mengikut jejak mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Keluarga UMNO Daerah Mengundi Petagas di Kampung Sekambu, Petagas di sini, semalam.

Turut hadir di majlis itu ialah timbalan ketua UMNO Bahagian Putatan, Datuk Haji Arsit Sedi, naib ketua, Assan Nasib, ketua pergerakan wanita Bahagian, pengerusi penganjur, Haji Sahib Jamrah dan pemimpin UMNO pelbagai peringkat.

Yahya yang juga Ketua UMNO Bahagian Putatan berkata, dakwaan parti pembangkang itu adalah tidak benar dan sengaja direka bagi memberi gambaran mereka mendapat sambutan daripada rakyat.

“Sebenarkan parti itu tidak mendapat sambutan di kawasan Putatan. Hanya satu dua orang sahaja ahli UMNO yang menyertai mereka,” tegasnya.

Yahya berkata, pemimpin pembangkang itu telah menjajah ke banyak tempat dalam kempen mereka bahawa banyak cawangan UMNO di bahagian lain juga telah dibubarkan dan ahlinya menyertai parti Warisan.

“Pemimpin parti itu bercakap bohong dan sengaja mereka-reka cerita yang tidak benar untuk mempengaruhi rakyat,” tegasnya.

Sehubungan itu beliau mengingatkan ahli-ahli UMNO dan parti komponen Barisan Nasional (BN) agar tidak mudah terpengaruh dengan dakyah-dakyah yang digunakan oleh parti pembangkang itu.

Yahya yang Ahli Dewan Undangan Negeri Petagas berkata, dakwaan bahawa rakyat di kawasan Putatan “terseksa” dibawah pemerintahan kerajaan BN, juga tidak benar dan tidak berasas.