Calon Umno Untuk Kerusi DUN Sulabayan Mesti Miliki Pakej Lengkap

116
Jangan bimbang kerajaan sentiasa prihatin – Nasir Sakaran.

SEMPORNA: Calon UMNO yang dipilih mewakili Dewan Undangan Negeri Sulabayan di sini pada Pilihan Raya Umum ke-14 semestinya memiliki pakej lengkap bagi membawa perubahan yang lebih baik di kawasan itu.

Pemangku Ketua Bahagian UMNO Semporna, Nasir Sakaran berkata pimpinan atasan dan pusat yang akan memuktamadkan senarai calon wakil pasti akan membuat pertimbangan sewajarnya meliputi semua aspek.

Sehubungan itu beliau meminta rakyat terus berdiri teguh memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada sesiapa sahaja calon UMNO dan Barisan Nasional (BN) di kawasan itu.

Manakala anggota UMNO pula perlu terus bekerja dengan ikhlas membantu rakyat dan bukan sekadar menunjuk wajah atau meramaikan kehadiran majlis dengan harapan bagi meraih sokongan agar terpilih menjadi calon PRU.

“Sekarang bukan musim melobi menjadi calon tetapi ke arah memenangi hati rakyat agar terus bersama dengan UMNO sekali gus membantu kemenangan BN dalam PRU ke-14 sehingga kekal,”katanya.

JAUJAN SAMBAKONG

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Jelajah Kasih Ramadan sempena Program Bantu Rakyat DUN Sulabayan di Kampung Sulabayan, Pulau Bum Bum dekat sini, hari Jumaat.

Kerusi DUN Sulabayan diwakili Jaujan Sambakong menggunakan tiket UMNO sebelum beliau keluar parti pada tahun lepas dan menyertai Parti Warisan Sabah.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan mana-mana individu berminat menjadi calon Sulabayan perlu bekerja keras untuk rakyat dan bukan memiliki agenda tersendiri.

“Setiap kali menjelang PRU kita sedia maklum dengan perebutan ingin menjadi calon namun perkara ini kita serahkan kepada pucuk pimpinan sahaja untuk menilai, kita hanya perlu bekerja terus,”katanya.

Nasir yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Senallang itu turut menasihatkan kepada anggota UMNO yang tidak tercalon menjadi wakil agar kekal berjuang bersama parti dan tidak mengambil keputusan berpaling tadah.

“Jangan hanya kerana kita tidak dipilih menjadi calon kita merajuk dan kecewa sehingga tergamak berpaling tadah dan menyertai parti pembangkang,”katanya lagi.

Pada program itu sebanyak enam buah kampung melibatkan 1500 penduduk menerima bantuan makanan sebagai persediaan menyambut bulan Ramadhan.