Bumbung Rumah Diterbangkan Ribut Di Labuan; Warga Emas KM Rentung

1200
Bumbung rumah di Kampung Bebuloh diterbangkan ribut awal pagi Isnin.

LABUAN: Angin kencang yang membadai Labuan dari malam Ahad hingga awal pagi Isnin menyaksikan bumbung rumah diterbangkan ribut yang turut merosakkan rumah dan menumbangkan pokok.

Mengikut laporan, sekurang-kurang bumbung dua buah rumah di Kampung Bebuloh di sini diterbangkan angin kencang serta mengalami kerosakan teruk.

Ketua Pejabat Perkhidmatan Masyarakat Kawasan Parlimen Labuan, Basran Yunus, bila temui berkata tiada kehilangang nyawa dilaporkan.

“Kami telah menerima laporan jumlah rumah yang terjejas,” katanya dalam laporan media portal.

“Kami juga telah menentukan bantuan bersesuaian untuk mereka termasuk bahan bagi membaiki rumah masing-masing yang akan diserahkan pada kadar segera.”

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Labuan pula dilaporkan menerima beberapa panggilan berhubung kejadian pokok tumbang di beberapa batang jalan.

Di KOTA MARUDU, seorang warga emas berumur 69 tahun rentung selepas rumah kayunya di Kampung Samparita Tengah, Jalan Tandek di sini terbakar Ahad malam.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah berkata mangsa yang maut dikenali sebagai Yaad @ Abd Shaad Enggok.

Ia berkata mayat mangsa telah dikeluarkan dari rumah itu oleh pihak polis.