BR1M Bukan Rasuah, Usaha Ikhlas Kerajaan Bantu Ringankan Beban Rakyat

152
Musa Aman menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia kepada seorang penerima dalam satu majlis hari Isnin. – Gambar ihsan BERNAMA

SANDAKAN: Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) merupakan usaha ikhlas kerajaan membantu meringankan beban rakyat dan bukannya rasuah seperti didakwa parti pembangkang, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

Menurut beliau kerajaan mampu memberikan BR1M kerana mempunyai kewangan untuk membantu rakyat yang memerlukan bantuan.

“Parti pembangkang kata tak perlu bagi BR1M dan kata ia adalah rasuah…kerajaan memberikan BR1M bagi membantu rakyat yang susah dan meringankan beban,” katanya pada Majlis Penyampaian BR1M di sini, hari Isnin.

Ia membabitkan 2,480 penerima iaitu 2,460 bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Sibuga dan 120 bagi DUN Gum-Gum.

Musa yang juga anggota DUN Sungai Sibuga berkata sebagai wakil rakyat beliau gembira dengan komitmen kerajaan pusat memberikan BR1M yang turut dinikmati rakyat di kawasan itu.

Katanya pemberian BR1M sejajar dengan perjuangan Barisan Nasional (BN) untuk membantu dan memberikan kesejahteraan kepada rakyat.