BN Tiada Lampu Aladin Untuk Digosok Bagi Membina Projek Dengan Serta Merta

232
Radin mencuba minuman jus buah Bambangan yang dipromosikan usahawan desa sempena SFR. – Gambar ihsan Thomas Ralon

KOTA KINABALU: Dakwaan dan tohmahan pembangkang bahawa banyak kawasan luar bandar di Sabah tidak menikmati pembangunan adalah tidak benar dan bertujuan mengelirukan rakyat.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Seri Panglima Radin Malleh menegaskan bahawa semua program pembangunan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dirancang dengan baik dan dilaksanakan secara seimbang meliputi seluruh daerah termasuklah kawasan-kawasan luar bandar di Sabah.

“Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Aman semasa melawat Semporna pada minggu lepas telah menjelaskan semua projek pembangunan kerajaan meliputi semua daerah di Sabah termasuklah kawasan-kawasan luar bandar di Sabah.

“Justeru, tohmahan-tohmahan dan dakwaan-dakwaan pembangkang bahawa tiada pembangunan di kawasan-kawasan luar bandar di Sabah adalah tidak benar, tidak berasas dan hanya bertujuan mengelirukan rakyat sahaja.

“Semua program pembangunan mengikut bajet dan pelaksanan sesuatu pembangunan itu memerlukan perancangan serta tempoh masa menyiapkannya…kita tiada lampu Aladin yang dapat digosok untuk membina sesuatu projek pembangunan itu dengan serta merta,” tegasnya lagi.

Radin berkata kepada media selepas merasmikan program Sunday Family Ride (SFR) anjuran Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah dan Pejabat-pejabat Daerah dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan jabatan-jabatan dan agensi-agensi kerajaan lain bertempat di Taman Awam, Teluk Likas Tanjung Lipat Kota Kinabalu.

Radin yang juga naib presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) berkata semua kementerian termasuklah KPLB mempunyai perancangan dan bajet masing-masing untuk melaksanakan program-program pembangunan berkenaan.

“Misalnya KPLB telah membina 52 Mini Estet Sejahtera (MESEJ) yang meliputi tanaman pertanian seperti getah dan kelapa sawit di di daerah-daerah dan akuakultur di kawasan-kawasan pinggir pantai di Sabah bagi mengatasi kemiskinan tegar melalui peningkatan pendapatan para penduduk luar bandar.

“Melalui progam MESEJ, tanah-tanah kerajaan di daerah-daerah berkenaan akan dibangunkan sebagai salah satu strategi kerajaan BN untuk menangani gejala kemiskinan tegar di kalangan para penduduk luar bandar Sabah,” katanya.

Radin yang juga Adun Melalap menambah program SFR yang diilhamkan oleh Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Pengguna Sabah dianjurkan secara bergilir-gilir oleh kementerian-kementerian berkenaan.