APMM Kudat Tahan Bot Pancing Disyaki Seludup Keluar Barang Kawalan

143
Sebuah bot pancing ditahan kerana disyaki cuba menyeludup keluar pelbagai barang kawalan dan tidak memiliki surat kebenaran daripada KPDNKK. – Gambar ihsan APMM Kudat

KUDAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang berpangkalan di sini hari Rabu menahan sebuah bot pancing kerana disyaki cuba menyeludup keluar pelbagai barang kawalan dan tidak memiliki surat kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Pengarah Maritim Kudat, Leftenan Komander Maritim Boon Chin Chau berkata pasukan ronda yang menjalankan Op Pluto Timur pada 3.40 pagi mengesan bot pancing itu yang bergerak dalam keadaan mencurigakan pada jarak tiga batu nautika dari Marina Kudat.

Beliau berkata hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat empat lelaki termasuk tekong warga tempatan dalam bot berkenaan dan kesemua mereka yang berumur antara 19 hingga 33 tahun itu memiliki kad pengenalan.

“Bot pancing itu membawa 10 unit tong gas LPG, minyak masak 51 kilogram (kg), gula 36 kg dan tepung gandum 80 kg untuk diseludup ke Pulau Sibogo,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata tekong dan awak-awak bot pancing tersebut ditahan dan bot berkenaan dibawa ke Jeti Awam Kudat untuk pemeriksaan serta siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Boon berkata pihaknya akan terus mempertingkat pemantauan serta rondaan bagi membanteras aktiviti menyalahi undang-undang perairan negara.

Komuniti maritim yang mempunyai sebarang aduan boleh menghubungi APMM menerusi MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Kudat 088-611857/58.