Anggota Rela Akan Ditempatkan Di Esszone Bantu Anggota Keselamatan – TPM

486
Zahid memakaikan pangkat kehormat Timbalan Ketua Pesuruhjaya Rela kepada Musa, dua dari kanan, sambil disaksikan oleh Nur Jazlan dan Zulkifli.

KOTA KINABALU – Anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) akan ditempatkan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) bagi membantu anggota pasukan keselamatan dan penguat kuasa melaksanakan tugas, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata pihaknya akan berbincang dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi menentukan kaedah pelaksanaannya, termasuk bilangan anggota Rela yang akan ditempatkan di ESSZone yang terletak di bawah seliaan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom).

“Kita akan membantu ESSCom di mana ESSCom ini diletakkan di bawah Majlis Keselamatan Negara. Untuk kesiapsiagaan di kawasan ESSZone sepanjang 1,700 kilometer di bawah kawalan ESSCom, ini akan dibantu oleh Rela,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis sambutan Hari Rela ke-45 peringkat kebangsaan di Padang Merdeka, di sini, Sabtu.

Turut hadir ialah Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Ketua Pengarah Rela Zulkifli Abidin dan kalangan menteri persekutuan dan negeri.

Zahid dan Musa serta Nur Jazlan dan lain lain pegawai bergambar berkumpulan dengan angota RELA.

Ahmad Zahid berkata peranan anggota Rela di ESSZone ialah sebagai pasukan tambahan manakala kuasa menangkap masih terletak di tangan pasukan polis dan tentera.

“Dengan itu, Rela adalah tenaga yang akan membantu polis dan tentera untuk melaksanakan undang-undang dan penguatkuasaan,” katanya.

Pada majlis berkenaan, Ahmad Zahid turut memakaikan pangkat Ketua Pesuruhjaya Rela Kehormat kepada Musa.

Dalam pada masa itu, Musa berkata kerajaan negeri amat menghargai dan berpuas hati dengan prestasi serta sumbangan RELA di Sabah.

Beliau berkata walaupun pembabitan RELA hanya sebagai membantu agensi penguat kuasa utama, komitmen serta kesungguhan yang ditunjukkan pasukan itu membuktikan mereka sentiasa komited menjalankan tugas yang diamanahkan.

“Saya yakin kerjasama, peranan dan sumbangan tersebut boleh dimantapkan dan ditingkatkan lagi pada masa-masa akan datang,” katanya ketika berucap.

Musa berkata beliau percaya dengan jumlah keanggotaan yang besar, RELA Sabah dapat membantu melaksanakan pelbagai program kemasyarakatan.

“RELA juga boleh membantu menggerakkan komitmen rakyat ke arah pembangunan, membantu kerajaan mengukuhkan lagi semangat perpaduan dan muhibah serta menggerakkan anggotanya dengan lebih efektif dan menyeluruh bagi memantau setiap perkembangan yang berlaku khususnya di peringkat akar umbi,” katanya.