Ahli Lembaga Koperasi Mantap Libaran Bhd Diingatkan Ikhlas Dalam Urus Tadbir

235
Musa, empat dari kiri, merasmikan Mesyuarat Agung Permulaan KMLB pada Rabu di Sandakan.

SANDAKAN: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman mengingatkan Ahli Lembaga Jawatankuasa Koperasi Mantap Libaran Berhad (KMLB) supaya ikhlas dan berintegriti dalam mengurus tadbir koperasi itu.

Sehubungan itu, beliau berkata apa juga langkah yang dijalankan dalam membawa keuntungan kepada pihak koperasi, kepentingan anggota jangan sesekali diabaikan.

“Program yang diadakan perlu melibatkan semua peringkat ahli dalam usaha mempertingkatkan perniagaan koperasi,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Permulaan KMLB di sini, hari Rabu.

Pada peringkat awal penubuhan, koperasi itu dianggotai Ahli Jawatankuasa Bahagian UMNO Libaran dan semua ketua-ketua cawangan UMNO di bahagian itu.

Musa yakin penubuhan koperasi ini akan dapat membantu kerajaan menjana sosio ekonomi anggotanya dan memberikan peluang pekerjaan serta perniagaan kepada masyarakat.

Beliau berkata kerajaan menerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menyediakan bimbingan dan pinjaman kepada mana-mana koperasi dalam menjana pendapatan.

Terdahulu, Pengarah SKM Sabah Umar Sarim Saidin berkata terdapat 1,377 koperasi di negeri ini dengan keanggotaan 342,000 orang.

Katanya daripada jumlah itu, di daerah ini terdapat 184 koperasi dengan keanggotaan seramai 34,000 orang.