45 Keluarga Mangsa Kebakaran Di Kg Bakau Mendaftar Dengan JKM

370
Anggota Bomba menggunakan air dari parit untuk memadam api itu. – Gambar ihsan PDRM Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Seramai 288 orang daripada 45 keluarga yang terlibat dalam kebakaran di Kampung Bakau, Likas dekat sini pagi tadi telah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pegawai Pembangunan Masyarakat JKM Monalizah Akul berkata 43 keluarga merupakan warga tempatan, manakala dua lagi keluarga adalah warga asing.

“Kita telah selesai melakukan pendaftaran, namun sekiranya ada lagi mangsa belum mendaftar mereka boleh berjumpa dengan pegawai JKM di pusat penempatan sementara ini,” katanya kepada Bernama di pusat penempatan sementara Dewan Serbaguna Kampung Likas di sini, hari Selasa.

Beliau berkata seramai 187 orang melibatkan 34 keluarga akan menetap sementara di dewan berkenaan dan selebihnya tinggal di rumah saudara-mara.

“Setakat ini kita telah berikan bantuan makanan kepada semua mangsa yang terlibat dan terdapat juga beberapa individu yang telah tampil untuk menghulurkan bantuan seperti air mineral dan pakaian terpakai,” katanya.

Dalam kebakaran pagi tadi itu, sebanyak 45 buah rumah setinggan di Kampung Muhibah, Likas, musnah dijilat api.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam satu kenyataan berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 8 pagi dan menggerakkan tiga jentera bomba bersama 44 anggota termasuk 13 anggota bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat Lintas ke tempat kejadian.

“Pasukan bomba tiba di tempat kejadian pada pukul 8.10 pagi dan kebakaran itu berjaya dikawal pada pukul 8.51 pagi,” kata kenyataan itu.

Kepantasan anggota bomba juga dapat menyelamatkan 30 buah rumah daripada dijilat api.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian sedang disiasat. Setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan, namun seorang mangsa melecur telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk mendapatkan rawatan,” menurut kenyataan itu.